ad
BUDAYA

Haji balik hari

16 Nov 2024, 12:30 AM
Haji balik hari

tuan haji,

kalau kau dituduh

pergi mekah balik hari

tunjukkan resit derma,

zakat, sedekah,

& sepasang selipar masjidmu

biar seputar dunia tahu

kau sedang di sisi ridhwan

menunggu syurga dibuka.

hidup ini ujian untukmu,

o tuan haji –

dan jiwa-jiwa mereka

dalam kesesatan jelas nyata

kau dijadikan tiang jamrah

mereka melontar, merejammu

dengan batu-batu prasangka

maafkanlah segala salah

seperti ibu mengampunkan

anak celaka lagi derhaka.

atau biarkan saja

bala menimpa jemala

ketika mereka mempersembahkan

tarian iblis atas pentas papan kekunci.

mereka hanya melihat lahir

apa yang terbundar di mata zahir.

tenang – tetapkan zikir di bibir.

haji balik hari bukanlah sesuatu

mereka masih belum naik saksi

kepada koleksi pagani sampai bugatti

serta empat, lima, barangkali puluhan

penthousemu di dubai & NY.

kamar-kamar harammu, tuan?

kau tak mahu siapapun tahu

meski tuhan.

 

A’riff Mustaffa Hamzah

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.