SHAH ALAM, 14 NOV: Bidang inovasi perlu diaplikasikan dalam sektor pertanian untuk memastikan rantaian dan keterjaminan makanan tidak terjejas berikutan perubahan iklim.
EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata pemodenan pertanian serta penggunaan teknologi terkini seiring matlamat Selangor untuk menjadi pusat simpanan bekalan makanan.
"Sektor pertanian perlu beradaptasi dengan perubahan iklim. Kita berdepan cabaran termasuk banjir yang memberi kesan kepada infrastruktur pertanian dan ternakan. Namun sumber makanan negara perlu sentiasa ada tanpa mengira keadaan cuaca.
“Oleh itu golongan petani perlu berinovasi supaya tanaman dan ternakan tidak terjejas ketika berlaku banjir atau cuaca panas. Ini penting untuk jaga keterjaminan makanan,” katanya.
Ditemui pada Hari Inovasi Pertanian Selangor, beliau berkata sebagai negeri maju, Selangor perlu ke hadapan dalam meneroka inovasi pertanian.
[caption id="attachment_673042" align="aligncenter" width="700"]
EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berucap sempena majlis perasmian Hari Inovasi Pertanian Selangor di Hotel Mardhiyyah, Shah Alam pada 14 November 2024 di . Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Jelasnya langkah itu juga dapat membantu negara mengurangkan makanan import selain membantu petani meningkatkan pendapatan.
“Selangor kena jadi peneraju sebab kita negara maju. Kalau tak jadi contoh, negeri lain tak akan buat. Sudah banyak inisiatif kita yang beri panduan kepada negeri lain,” katanya.
Pada 2022. Kerajaan Negeri melaksanakan Dasar Pelan Transformasi Agro Selangor (PeTA) yang menekankan lima asas bagi jaminan bekalan makanan rakyat.
Asas meliputi pertanian bernilai tinggi, pertanian moden, rantaian bekalan makanan lengkap, pembangunan agropreneur dan pelancongan agro.
Inisiatif tersebut juga memenuhi Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025 bagi meningkatkan hasil pengeluaran.


