Selepas mengharungi cabaran sekatan pergerakan akibat pandemik Covid-19 pada 2020 diikuti banjir besar pada 2021, usahawan Siti Jaslin Johari berdepan pula pengalaman bersiaran tanpa penonton.
Menggunakan TikTok untuk mempromosi jualan pakaian sejak 2022, wanita itu cekal bercakap seorang diri selama dua jam siaran langsung waima tiada seorang pun menontonnya.
Hanya selepas enam bulan, bilangan penonton mula bertambah hingga mencecah 800 orang setiap tontonan. Ini sekali gus melonjakkan jualan kepada kira-kira RM20,000 hingga RM30,000 sebulan.
[caption id="attachment_672947" align="aligncenter" width="811"]
Usahawan Pakaian Siti Jaslin Johari di Puchong pada 26 Julai 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/ MEDIA SELANGOR[/caption]
"Walaupun saya tahu tiada penonton tetapi saya cakap seorang seolah-olah ada penonton. Kena sabar dan tekun barulah lama-lama ada penonton. Makin lama makin bertambah.
"Masa pertama kali ada penonton, rasa gembira sangat walaupun tidak sampai 10 orang. Lama-lama bertambah sampai lebih 800 orang," katanya.
Sememangnya, beliau menumpukan 90 peratus pasaran dalam talian hingga perniagaan pakaiannya berkembang maju. Pada masa ini, nilai jualan mencecah RM60,000 hingga RM70,000 sebulan.
Kesungguhannya membuahkan hasil apabila wanita berkenaan dinobat 10 peserta terbaik Anugerah Ikon Program Insentif Digital Media Usahawanita di Shah Alam 19 Julai.
[caption id="attachment_672946" align="aligncenter" width="808"]
Usahawan Pakaian Siti Jaslin Johari menyusun barangan jualannya ketika ditemui di Puchong pada 26 Julai 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/ MEDIA SELANGOR[/caption]
Siti Jaslin berjinak-jinak dalam perniagaan dengan berkongsi modal RM100 menggunakan wang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan rakan sekampus, kini suaminya.
Pada masa tersebut, anak sulung dari lapan beradik itu baru berusia 18 tahun dan masih menuntut di Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan pada 2014.
Berbekal RM200, beliau membeli tudung dari pengeluar. Tidak sampai beberapa hari, semuanya habis dibeli rakan sekuliah dan pensyarah. Keuntungan berkenaan dijadikan modal pusingan.
Sokongan pensyarah
Lama kelamaan perniagaannya terkenal di kampus sebelum beralih menjual aneka pakaian atas jenama The Ghrack. Beliau juga membantu pelajar lain mencari duit poket dengan menjadi ejen.
Perniagaan itu diteruskannya apabila melanjutkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda dalam jurusan pemasaran di Universiti Teknologi Malaysia di Skudai, Johor Bahru pada 2018.
"Ramai pensyarah tahu saya berniaga sebab mereka juga pelanggan saya. Mereka beri sokongan, apatah lagi kena dengan bidang saya belajar. Kadang-kadang saya diminta buat bengkel pemasaran dalam talian untuk pelajar," katanya.
Namun, perniagaannya terjejas teruk akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai Mac 2020. Permintaan terhadap pakaian jatuh mendadak berbanding produk makanan dan minuman.
[caption id="attachment_672948" align="aligncenter" width="812"]
Usahawan Pakaian Siti Jaslin Johari menyusun stok pakaian ketika ditemui di Puchong pada 26 Julai 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/ MEDIA SELANGOR[/caption]
Pada masa itu, majlis perkahwinan pada bulan sama tidak dapat diadakan secara fizikal lalu digantikan upacara pernikahan melalui maya. Ketika itulah, timbul ilham berniaga kerepek nachos.
"Saya dapat idea bila terpandang nachos. Sebenarnya untuk buah tangan tetamu kenduri tetapi siapa hendak makan, terlalu banyak. Jadi, saya bungkus dan jual semula.
"Masa itu orang memang tengah gila beli makanan dalam talian. Bila stok nachos habis, saya tempah lagi. Semua ahli keluarga tolong bungkus. Jualan cecah RM10,000 sebulan," katanya.
Beliau hanya kembali berniaga pakaian selepas enam bulan apabila sekatan pergerakan itu dilonggarkan. Namun, terlepas dari cengkaman PKP, banjir besar pula melanda Selangor.
Ini menyebabkan Siti Jaslin kerugian kira-kira RM15,000 berikutan stok pakaian, perabot, barangan elektrik dan studio yang baru siap rosak teruk. Pun begitu, beliau tabah.
Wanita itu membangunkan semula perniagaan menggunakan media sosial khususnya Instagram dan TikTok. Meski berdepan kesulitan pada peringkat awal, perniagaannya terus maju.


