SHAH ALAM, 14 NOV: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor merampas 7,860 unit pes udang tiruan bernilai RM50,000 di sebuah kilang di Taman Perindustrian Pandamaran, Pelabuhan Klang semalam.
Ketua Pegawai Penguatkuasanya Mohd Khairi Jamaludin berkata serbuan sekitar 12 tengah hari dilakukan selepas menerima aduan daripada wakil pemilik cap dagangan berdaftar barangan mentah sejuk beku itu.
"Hasil serbuan bersama wakil pemilik cap dagang tersebut di kilang menjual pelbagai barangan sejuk beku menemukan pes udang disyaki tiruan dalam milikan premis untuk tujuan perdagangan.
"Pengesahan awal ke atas barangan yang disyaki tiruan telah dibuat oleh wakil tersebut. Tindakan sitaan telah dilakukan ke atas 7,860 unit barangan dengan anggaran nilai rampasan RM50,000," katanya menerusi kenyataan hari ini.
[caption id="attachment_672962" align="aligncenter" width="812"]
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor menahan seorang lelaki berusia 27 tahun dipercayai pekerja stor bagi membantu siasatan penemuan pes udang tiruan dalam serbuan di sebuah kilang menjual barangan sejuk beku di Taman Perindustrian Pandamaran, Pelabuhan Klang pada 13 November 2024. Foto KPDN Selangor[/caption]
Mohd Khairi menambah, pihaknya turut menyiasat seorang lelaki berusia 27 tahun dipercayai pekerja stor premis itu untuk maklumat lanjut selain mengesan pemilik premis.
"Kes berkenaan merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 102(1)(c) ACD 2019 dan boleh dihukum Bawah seksyen 102(1)(i) Akta yang sama. Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barangan atau maksimum RM30,000 untuk kesalahan berikutnya.
"KPDN Selangor menegaskan akan terus konsisten menggerakkan tindakan penguatkuasaan dan tidak berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang khususnya melibatkan perlindungan harta intelek," katanya.








