Pada 23 Oktober 2024 yang lalu, Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ibni almarhum Sultan Iskandar telah sudi memperkenan gelar Profesor Diraja kepada Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas.
Beliau menjadi orang kedua yang menerima gelaran ini selepas Profesor Diraja Dr Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid. Turut hadir dalam majlis ini ialah Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah ibni almarhum Sultan Idris Shah; Perdana Menteri, Anwar Ibrahim; serta Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Zambry Abdul Kadir.
Sepanjang ingatan penulis, tidak ada mana-mana pensyarah di Malaysia yang mempunyai tarikan sebesar al-Attas. Program syarahan beliau yang mutakhir, meskipun berbayar, dihadiri oleh lebih seribu pendengar.
Namun, beliau bukanlah seorang selebriti dalam pengertian popular kerana kenyataan-kenyataan kontroversi atau berani menyanggah pihak tertentu khususnya yang berkuasa.
Saya menyifatkan tarikan besar al-Attas ada pada kekuatan ilmiah dan budaya ilmu yang beliau garap terutama semasa memimpin Institut Antarabangsa Pemikiran dan Ketamadunan Islam (ISTAC) antara tahun 1988 ke tahun 2001.
Al-Attas sepintas lalu
Beliau dari keturunan Ba’lawi, Hadramaut dengan salasilah keturunan ke-37 Rasulullah s.a.w. melalui jalur Saidina Hussain.
Datuknya, Syed Abdullah bin Muhdin al-Attas, yang menjadi kiai di Jawa, telah berkahwin dengan Ruqayya Hanum, wanita bangsawan dari Turki. Bapanya, Syed Ali bin Syed Abdullah al-Attas telah berkahwin dengan Sharifah Raguan al-Aydarus, dari keturunan raden kerabat Diraja Sunda dari Sukapura.
Dilahirkan di Bogor, Jawa sebelum dibawa ke Johor pada usia 5 tahun, beliau sempat bersekolah di Neng English Primary School sebelum dipindahkan ke Madrasah Urwathul Wuthqa di Sukabumi rentetan pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Beliau kemudian kembali ke Johor semasa pengajian atas di Bukit Zahrah School dan English College.
Di Johor, beliau tinggal bersama bapa saudaranya Engku Abdul Aziz, Menteri Besar Johor (1946-1951). Engku seorang yang berpendidikan tinggi dan memiliki koleksi sastera dan sejarah yang secara tidak langsung mendedahkan al-Attas kepada bahan-bahan bacaan bermutu dan tinggi. Al-Attas kemudian tinggal pula bersama Onn Jaafar, seorang lagi bapa saudaranya menjadi Menteri Besar Johor seterusnya dan mengasaskan UMNO.
Al-Attas menyatakan beliau diminta oleh Onn untuk mereka corak lambang dan bendera UMNO.
Tamat sekolah, beliau menjadi pegawai kadet Rejimen Askar Melayu Diraja.
Kecerdasan beliau melayakkannya terpilih menyambung pengajian di Eton Hall, Chester, England dan seterusnya di Royal Military Academy di Sandhurst, United Kingdom antara tahun 1952-1955.
Dalam sela masa berpeluang melawat beberapa negara, beliau sempat melihat banyak tinggalan sejarah khususnya dari seni bina Islam yang membangkitkan kesedaran dan minat beliau untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi untuk mengkaji dan memahami bagaimana kehebatan Islam dapat dikembalikan semula.
Beliau menyambung pengajian ijazahnya di Universiti Malaya, Singapura. Di sana, beliau telah mengasaskan Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) dan menulis Rangkaian Ruba’iyat yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1959.
Sebuah lagi tulisan beliau semasa menyiapkan ijazahnya ialah Some Aspects of Sufism as Understood and Practiced among the Malays yang hanya diterbitkan pada tahun 1963.
Kerana kecemerlangannya, al-Attas ditawarkan Zamalah Majlis Kanada (Canada Council Fellowship) untuk melanjutkan pengajian di McGill University di Montreal, Kanada.
[caption id="attachment_672804" align="aligncenter" width="699"]
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan bergambar kenangan bersama penerima watikah pelantikan profesor diraja, tokoh intelek Islam, Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas (duduk) di Istana Negara pada 23 Oktober 2024. Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua, kiri) dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (kiri). Foto BERNAMA[/caption]
Tesis kajian beliau adalah mengenai kritikan Nurul-din ar-Raniri, seorang ulama India yang diambil menjadi penasihat kepada Sultan Iskandar Thani, terhadap fahaman Hamzah Fansuri, seorang ulama tempatan dari aliran sufi yang berpengaruh besar di sana. Ia telah disiapkan pada tahun 1962 dan diterbitkan oleh Malaysian Branch of Royal Asiatic Society (MBRAS) pada tahun 1966 dengan tajuk Raniri and the Wujudiyyah of the 17 th Century Acheh.
Dalam menyiapkan tesis ini, al-Attas dibantu oleh Profesor Dr. Wilfred Cantwell Smith, Pengarah Institut Pengajian Islam di McGill; diselia oleh Dr. Muhammad Rasjidi; Fazlur Rahman yang secara khususnya membantu dalam memahami beberapa bahagian kitab Ibnu Arabi – Futuhat al-Makkiyah dan Fusus al-Hikam; Profesor Dr. Toshihiko Izutsu, pakar linguistik dari Jepun, M. J. Watson, pustakawan yang membantu menyediakan bahan-bahan yang diperlukan untuk kajiannya.
Beliau turut berkenalan misalnya dengan Sayyed Hossein Nasr, Hamilton Gibb malah isterinya, Maureen.
Usai pengajian sarjana, al-Attas melanjutkan pula pengajian di peringkat doktor falsafah di School of Oriental and African Studies (SOAS), University of London di mana tesis beliau adalah tentang ajaran mistik Hamzah Fansuri yang disiapkannya pada tahun 1965 dan diluluskan sebagai kajian doktor falsafah pada tahun berikutnya.
Al-Attas menisbahkan Martin Lings atau nama Islamnya Abu Bakar Siraj ad-Din, yang pada ketika itu bertugas di Muzium British di London sebagai mentornya.
Beliau juga dibantu oleh E. C. G. Barrett, Esq. pensyarah bahasa dan kesusasteraan Melayu dan Indonesia yang dilantik oleh Sir Richard Winstead untuk membantu al-Attas dalam hal yang diperlukan mengenai kajiannya. Winstead bukan sahaja seorang pentadbir British tetapi seorang sarjana yang banyak menghasilkan kajian dan penulisan ilmiah termasuk mengenai Johor sehingga beliau diberi gelaran Pendita Bahasa Johor.
Beliaulah orang yang mendorong al-Attas menyambung pengajian di SOAS. Barangkali, itulah sumbangan terakhir beliau sebelum meninggal dunia pada tahun 1966.
Al-Attas turut dibantu oleh A. J. Arberry, sejarawan Cambridge khususnya dalam meneliti sufisme dari sumber Parsi. Selain itu, Dr. R. Roolvink, penolong kurator di Akademi Bibliotheca di Universiti Leiden untuk salinan teks-teks asal yang tersimpan di sana.
Sepanjang di London, al-Attas menerima bantuan daripada pelbagai pihak termasuk the Asia Foundation, British Council, kerajaan negeri Johor, jabatan pelawat London serta dana kajian Universiti of London.
Kajian ini kemudiannya diterbitkan oleh Penerbit Universiti Malaya pada tahun 1970 dengan tajuk The Mysticism of Hamzah Fansuri.
Kepentingan kajian
Kajian-kajian al-Attas ini bukan sahaja menarik, tetapi penting dalam memahami satu atau lebih bahagian kehidupan pada masa lalu. Mengapa ia menarik? Kerana al-Attas mengangkat pertembungan dua ulama di Aceh sebagai satu subjek untuk dibincangkan secara terbuka.
Bagi yang tidak tahu, fahaman wahdatul wujud yang dibawa oleh Hamzah Fansuri menjadi pegangan meluas masyarakat ketika itu termasuk oleh penasihat agama diraja, Syamsuddin al-Sumaterani.
Namun, selepas kematian beliau, penasihat agama diraja yang baru, Nurul-Din ar-Raniri, bukan sahaja menolak fahaman tersebut tetapi telah mengisytiharkan ajaran itu sesat, kitab-kitabnya dibakar dan sebahagian pengembang ajaran ini dihukum mati!
Pertembungan fahaman di Aceh pada kurun ke-17 ini tentunya terkandung pengajaran bagi kita tentang realiti kepelbagaian serta hubungan kuasa dan agama.
Kajian-kajian al-Attas mungkin dirasakan asing oleh ramai pembaca, terutama mereka yang kini hidup dalam zaman yang lebih canggih di mana sumber pemikiran agama boleh didapatkan secara meluas dan sastera bukanlah bidang yang dianggap popular apatah lagi penting untuk kelangsungan hidup.
Apapun, saya menganggap al-Attas berani dalam mengambil pendirian pada masa itu yang menegaskan bahawa Hamzah Fansuri telah disalahfahami oleh ar-Raniri.
Malah, daripada kajiannya, al-Attas menyatakan selayaknya Hamzah Fansuri diangkat sebagai tokoh persuratan Melayu yang pertama ketimbang Abdullah Munshi.
Al-Attas sendiri. Tentang ini, al-Attas telah menerbitkan dua buku, The Origin of the Malay Sha’ir pada tahun 1968 dan Concluding Postscript to the Origin of the Malay Sha’ir pada tahun 1971.
Usai pengajian Doktor Falsafah, al-Attas menyertai Universiti Malaya yang baru sahaja dibuka di Kuala Lumpur beberapa tahun sebelumnya. Kebetulan, pada tahun yang sama, Singapura berpisah dari Malaysia.
Beliau ditempatkan sebagai pensyarah di Bahagian Kesusasteraan, Jabatan Pengajian Melayu yang ketika itu diketuai oleh Sutan Takdir Alisjahbana, seorang tokoh sastera besar dari Indonesia.
Anwar Ibrahim hanya masuk sebagai mahasiswa di Universiti Malaya (UM) pada tahun 1967.
Bermula dari tahun inilah mereka saling berkenalan dan menyebarkan pemikiran yang memberi pengaruh besar dalam masyarakat Malaysia sama ada secara langsung atau tidak langsung sehingga kini.


