ad
AGENDA

Kerajaan pastikan mekanisme subsidi RON95 tidak bebankan rakyat

12 Nov 2024, 4:12 AM
Kerajaan pastikan mekanisme subsidi RON95 tidak bebankan rakyat
Kerajaan pastikan mekanisme subsidi RON95 tidak bebankan rakyat

SHAH ALAM, 12 NOV: Kerajaan persekutuan komited memastikan pelaksanaan mekanisme subsidi RON95 yang akan dikuat kuasa pertengahan tahun hadapan tidak membebankan rakyat.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata pihaknya sedang membangunkan sistem penentuan kelayakan, manakala Kementerian Kewangan menentukan kaedah penetapan harga dua peringkat.

Beliau memberitahu kriteria dan mekanisme akhir akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri selaras garis masa pelaksanaan, iaitu menjelang pertengahan tahun depan.

“Kementerian Ekonomi dan Jabatan Perangkaan Malaysia memperkenal Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar mengikut nilai ambang perbelanjaan dan jumlah tanggungan keluarga untuk penentuan kelayakan.

“Pelaksanaan penyasaran subsidi di stesen minyak pula mengambil kira kedudukan sosioekonomi isi rumah menggunakan kaedah seperti kad pengenalan dan e-dompet yang sedang dipertimbang,” katanya.

[caption id="attachment_613669" align="alignright" width="439"] Menteri Ekonomi yang juga Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli ketika menghadiri Sidang Dewan Rakyat pada 8 November 2023. Foto BERNAMA[/caption]

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan wakil rakyat Pulai Suhaizan Kaiat dalam sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Rafizi menjelaskan sistem dua peringkat merangkumi harga bersubsidi yang kekal pada paras ditetapkan bagi 85 peratus rakyat dan harga diapungkan bagi 15 peratus isi rumah tertinggi.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan mengambil maklum pelbagai cabaran yang bakal dihadapi jika mekanisme kad pengenalan digunakan untuk pengesahan kelayakan subsidi petrol.

“Cabaran ini seperti isu insfrastruktur, terutama capaian internet yang perlahan di luar bandar dan kerosakan cip kad pengenalan, risiko pengesahan identiti serta penyalahgunaan kad pengenalan.

“Justeru, kerajaan komited untuk memastikan mekanisme yang dtentukan nanti adalah bersesuaian,” jelasnya yang juga wakil rakyat Pandan.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.