ad
AGENDA

Geng Castelo tumpas, 64 warga asing ditahan di dua lokasi

9 Nov 2024, 1:03 AM
Geng Castelo tumpas, 64 warga asing ditahan di dua lokasi

KUALA LUMPUR, 9 NOV: Geng Castelo yang mengaut keuntungan besar menyeludup warga asing tiada dokumen sah keluar dari negara melalui jalan laut tumpas baru-baru ini.

Kegiatan kumpulan itu dibongkar Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) menerusi serbuan Op Pintas di dua lokasi berasingan di sekitar Tanjung Karang dan Rawang, Selangor.

Ketua Penolong Pengarah D3 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong, berkata hasil siasatan mendapati sindiket itu mengutip 'tambang' bermula RM1,500 hingga RM2,300 setiap seorang.

Menurutnya, dalam serbuan pertama sebuah bot pancung serta sampan dipintas di kedudukan 0.5 batu nautika di Pantai Sungai Bagan Tengkorak, Tanjung Karang dengan bantuan Pasukan Polis Marin (PPM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

"Serbuan pertama pada 6 petang, Rabu pasukan D3 bersama PGM dan APMM berjaya membuat serbuan ke atas sebuah bot pancung jenis fiber dan sebuah bot sampan jenis fiber dalam keadaan mencurigakan.

"Hasil serbuan menahan 36 migran Indonesia terdiri 19 lelaki, wanita (14), dan kanak-kanak (3) serta dua lelaki juga warga Indonesia disyaki sebagai tekong," katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.

Susulan itu, pihak polis menggempur sebuah premis kediaman sekitar Kundang dalam serbuan kedua kira-kira 6 petang kelmarin.

Soffian berkata, 26 migran warga Indonesia ditahan dalam serbuan kedua membabitkan 20 lelaki, lima wanita dan seorang kanak-kanak serta dua lelaki disyaki transporter serta penjaga rumah kesemuanya berusia lingkungan 4 hingga 49 tahun.

Katanya, polis percaya kedua-dua lokasi serbuan membabitkan satu sindiket sama dan dipercayai aktif sejak enam bulan lalu.

"Migran yang ditahan tidak mempunyai dokumen sah dan mahu keluar dari Malaysia melalui jalan laut.

"Setiap migran dipercayai membayar RM1,500 hingga RM2,300 untuk keluar dari Malaysia yang dibayar kepada ejen di Indonesia," katanya.

Menurutnya, secara keseluruhan seramai 64 warga Indonesia ditahan dalam dua operasi berkenaan termasuk tekong, transporter dan penjaga rumah transit.

Katanya, kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor dan IPD Sungai Buloh untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen Seksyen 26A Akta Atipsom 2007, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, dan Seksyen 15(1)(c) akta sama.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.