KUALA SELANGOR, 8 NOV: Kerajaan Negeri merangka pelan rancangan untuk membina sistem terowong bawah tanah, sama seperti digunakan di Jepun bagi mengatasi isu banjir di negeri ini.
EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata, pendekatan itu perlu dilaksanakan sebagai langkah penyelesaian jangka masa panjang bagi pengurusan banjir di negara ini.
Menurut beliau, projek seumpama itu telah dilaksanakan di dua bandar di Jepun iaitu di Kawasaki dan Saitama yang telah menggunakan kaedah mengalirkan air terus ke dalam terowong bawah tanah.
“Sungai di Selangor tidak mampu menampung jumlah taburan air hujan yang luar biasa. Pelan pembinaan terowong ini juga termasuk di Kuala Lumpur.
“Ini kerana kebanyakan banjir berlaku di KL akan mengalir ke sungai sekitar negeri hingga menyebabkan Selangor dilanda banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Penyerahan Projek Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) Pakej Bm di Kolam Hang Tuah No. 5, Jalan Rantau Panjang, Bestari Jaya di sini, hari ini.
Menurut Izham, pelan rancangan itu telah dibawa Kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bagi memperhalusi serta mempericikan perkara tersebut.
Tambah beliau, sebanyak RM6 bilion diperlukan bagi pelaksanaan projek berkenan.
"Kita berharap dapat menyelesaikan isu banjiri ini segera kerana ia berlaku di luar kebiasaan dan kita perlu fikir kaedah menanganinya pada masa akan datang,"katanya.