SUBANG JAYA, 8 NOV: Kerajaan Negeri tidak menolak kemungkinan membangunkan enakmen baharu bagi memperbaiki undang-undang berkaitan penjagaan kanak-kanak, warga emas dan golongan kurang upaya (OKU).
EXCO Kesejahteraan Masyarakat Anfaal Saari berkata cadangan enakmen baharu merupakan rancangan jangka panjang susulan penubuhan Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Perkhidmatan Penjagaan (JKPPP).
“Itu antara rancangan jangka masa panjang (penubuhan enakmen baharu), tetapi kita lihat punca kuasa undang-undang sedia ada kerana di bawah kementerian juga ada undang-undang bangunan seragam.
“Kita mahu lihat dua aspek iaitu tahap keselamatan kanak-kanak dan tahap berdaya saing pengasuh,” katanya ditemui selepas merasmikan majlis penutup Simposium Koperasi Wanita 2024, hari ini.
Majlis yang diadakan di Hotel Summit USJ, di sini, turut dihadiri Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA), Datuk Dr Abdul Fattah Abdullah.
Anfaal menambah, JKPPP yang akan memulakan mesyuarat pertama dalam masa terdekat telah mengenal pasti insiatif membabitkan golongan wanita, OKU dan kanak-kanak dalam Belanjawan 2025.
Selain itu, katanya, jawatankuasa tersebut mahu meneliti penambahbaikan undang-undang dan garis panduan berkenaan perkhidmatan penjagaan, termasuk pengasuhan di rumah.
“Dalam akta rumah pengasuhan kanak-kanak, tertakluk kepada empat kanak-kanak dan ke atas. Ruang pelan lantai 3.5 meter persegi untuk seorang anak, ia mungkin membebankan pengusaha.
“Bukan sahaja tentang kesejahteraan, kita mahu pastikan sektor penjagaan, kita mahu pastikan kualiti dan juga peluang ekonomi untuk penjaga atau pengasuh,” katanya.
Minggu lalu, Kerajaan Negeri mengumumkan pembentukan JKPPP yang ditubuhkan pada 20 September lalu dan dipengerusikan Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze.
JKPPP akan bertindak untuk menyemak, menilai dan menambahbaik undang-undang berkaitan perkhidmatan penjagaan bagi kanak-kanak, warga emas dan OKU di Selangor.


