KAHERAH, 8 NOV: Cabaran semasa yang lebih meluas khususnya bidang ekonomi menuntut mahasiwa pengajian Islam Universiti Al-Azhar terlibat secara langsung di dalamnya.
Berikutan itu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyeru pelajar terlibat dalam bidang tersebut, selain perbankan Islam dan industri halal selepas tamat pengajian.
“Ada nak jadi guru agama atau pensyarah, saya tiada masalah. Kesedaran atau kefahaman agama jauh lebih besar hari ini daripada 20 tahun dahulu. Saya akui tetapi cabarannya jauh lebih luas.
“Ini mungkin bidang yang belum dipelopori atau dikembangkan pelajar Timur Tengah,” katanya dalam sesi dialog bersama 100 mahasiswa Dewan Malaysia Abbassiyah Kaherah pada 6 November.
[caption id="attachment_672064" align="aligncenter" width="710"] Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari bergambar bersama pegawai Kedutaan Malaysia dan pelajar dalam sesi dialog bersama pelajar Malaysia di Dewan Malaysia Abbasiah, Kaherah, Mesir pada 6 November 2024. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Menjawab soalan peserta, Amiruddin bagaimanapun tiada masalah jika mahasiswa memilih kerjaya sebagai agama, pensyarah atau pegawai pusat berkuasa selepas graduasi kelak.
Sementara itu, dalam program berasingan, EXCO agama Islam berhasrat mewujudkan kelab kerjaya kepada mahasiswa dan membekalkan latihan kemahiran tertentu sebelum mereka ke dunia pekerjaan.
Berdialog dalam Konvensyen Mahasiswa Timur Tengah semalam, Dr Fami Ngah berkata pelajar berkenaan bakal menerima bimbingan kemahiran secara dalam talian daripada tenaga pengajar di Malaysia.
“Ia lebih kepada persediaan untuk ke alam pekerjaan. Mungkin ada agensi atau syarikat Kerajaan Negeri tawar terus kerja, tidak boleh tunggu lama. Mana hendak kerja, boleh kerja terus.
“Kemahiran itu akan disesuaikan dengan keperluan jawatan,” katanya menambah latihan meliputi penggunaan teknologi maklumat, penguasaan bahasa atau elemen pengurusan asas.