AGENDA

MB ziarah bekas mufti agung Mesir, bincang isu mazhab akidah

6 Nov 2024, 2:54 AM
MB ziarah bekas mufti agung Mesir, bincang isu mazhab akidah
MB ziarah bekas mufti agung Mesir, bincang isu mazhab akidah
MB ziarah bekas mufti agung Mesir, bincang isu mazhab akidah
MB ziarah bekas mufti agung Mesir, bincang isu mazhab akidah

KAHERAH, 6 NOV: Dato' Menteri Besar Dato Seri Amirudin Shari menziarahi bekas mufti agung Mesir Prof Dr Ali Jumaah Muhammad Abdul Wahab di kediamannya di Giza, petang semalam.

Meluangkan masa selama sejam, mereka membincangkan isu mazhab akidah Asyairah dan al-Maturidiah sebagai tonggak Ahli Sunnah Wal Jamaah, berkait Palestin dan pemindahan kubur di Selangor.

Turut disentuh tentangan kumpulan tertentu terhadap dua mazhab itu di Malaysia, susulan pembentangan Rang Undang-undang Mufti Wilayah-Wilayah Persekutuan 2024 (RUU Mufti) di Parlimen.

Dalam pertemuan itu, Amirudin bertekad mempertahan kedua-dua mazhab tersebut, termasuk mencadangkan ia dijadikan tajuk khutbah Jumaat di Selangor dan Festival Turath Islami akan datang.

[caption id="attachment_671675" align="aligncenter" width="731"] Dato' Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menziarahi bekas mufti agung Mesir Prof Dr Ali Jumaah Muhammad Abdul Wahab di kediamannya di Giza, Kaherah, Mesir pada 5 November 2024. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]

“Kita akan mempertahan Asyairah dan Al-Maturidiyah dari luar dan dalam. Selepas dua tahun kita mengadakan Festival Turath, Selangor dilihat menjadi benteng Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan bacaan pertama RUU Mufti 2024 dibuat Julai lalu. RUU itu satu daripada tiga RUU berkaitan hal ehwal Islam yang dibentangkan untuk pindaan.

RUU berkenaan antaranya untuk memberi takrifan kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah yang sudut akidahnya bersumberkan aliran Asyairah dan al-Maturidiah.

Dalam pada itu, Dr Ali Jumaah, selaku tetamu kehormat Festival Turath Islami Selangor pada 2023 dan 2024, menyambut baik tekad yang ditunjukkan Amirudin dan kepimpinan Islam di Selangor.

Beliau turut mencadangkan umat Islam di Malaysia bersungguh-sungguh menentang pemikiran tertentu yang dianggap berbahaya, esktrem dan mengelirukan masyarakat.

[caption id="attachment_671677" align="aligncenter" width="809"] Dato' Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (kiri) membincangkan beberapa isu bersama bekas mufti agung Mesir Prof Dr Ali Jumaah Muhammad Abdul Wahab di kediamannya di Giza, Kaherah, Mesir pada 5 November 2024. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]

“Kita kena buat kerja (berdepan kumpulan ini). Kalau usaha kita berterusan selama sembilan tahun, kita akan berjaya,” katanya dalam perbincangan yang turut disertai delegasi negeri.

Terima manisan 'manna'

Pada awal pertemuan, Dato' Menteri Besar membuka perbincangan dengan bertanyakan takrifan ayat al-Quran ‘manna wa salwa', yang kemudian diceritakan terperinci oleh Dr Ali Jumaah.

Bahkan ulama itu, yang memakai kopiah oren dan berjubah hitam, membuka telefonnya dan menunjukkan bentuk ‘manna’ dan rasa manisan tersebut yang boleh didapati dari Iraq.

[caption id="attachment_671676" align="aligncenter" width="724"] Delegasi Kerajaan Negeri diketuai Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari (tengah) bergambar bersama bekas mufti agung Mesir Prof Dr Ali Jumaah Muhammad Abdul Wahab (dua, kiri) di kediamannya di Giza, Kaherah, Mesir pada 5 November 2024. Turut serta EXCO Agama Islam Dr Fahmi Ngah (kiri), Mufti Selangor Dato' Dr Anhar Opir (dua, kanan) dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Dato' Mohd Shahzihan Ahmad (kanan). Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]

Dr Ali Jumaah kemudiannya menghadiahkan manisan itu sebagai menghargai kesudian Amirudin menziarahinya. Sementara tetamu pula lain dihadiahkan seutas tasbih.

Menurut carian di portal Pejabat Mufti Wilayah, terdapat beberapa pandangan berbeza ulama mengenai manna atau al-mann antaranya sejenis cecair melekit seperti madu dan roti daripada jagung.

Ada juga pendapat mengatakan ia sesuatu yang turun dari pokok, lebih manis daripada madu dan lebih putih daripada salji selain gam manis berwarna kekuningan di pokok kawasan padang pasir.