SHAH ALAM, 6 NOV: Penuntut atau warga universiti diseru melaporkan segera kepada pihak berkuasa sekiranya mempunyai maklumat berkaitan ajaran menyeleweng disebar atau diamalkan di kampus.
Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkata mereka juga perlu peka kerana kelompok ekstremis semakin licik menyebarkan fahaman berkenaan.
Menurut Radihan Saari, antara modus operandi kelompok itu termasuk berselindung di sebalik penganjuran pelbagai bentuk program seperti kebajikan, ilmiah dan akademia yang tidak menjurus secara terus kepada fahaman itu.
“Tanggungjawab kita semua untuk buat laporan. Jika di Wilayah Persekutuan lapor pada penguatkuasa Jawi (Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan) jika di Selangor Jais (Jabatan Agama Islam Selangor) atau mana-mana balai polis terdekat.
“Cuma ada pihak tertentu, dia licik. Jadi perlu peka,” katanya pada sesi soal jawab sempena Seminar Kefahaman Ekstremis dalam kalangan pimpinan pelajar IPTA/IPTS Selangor 2024 di sini, semalam.
[caption id="attachment_671555" align="alignnone" width="809"] Pelajar mendengar penerangan pada Seminar Kefahaman Ekstremis dalam kalangan pimpinan pelajar IPTA/IPTS Negeri Selangor 2024 di Hotel Mardhiyyah, Shah Alam pada 5 November 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
Dalam sesi soal jawab sama, Superintendan Bakari Bakar dari Cawangan Khas E2 Bukit Aman berkata laporan dibuat adalah penting untuk pihak berkuasa mengambil tindakan susulan dan sewajarnya.
“Jika ada anasir luar contohnya cuba Kristiankan orang beragama Islam, itu kesalahan cukup besar. Jadi lapor pada pihak universiti, polis dan kita akan siasat hingga ke akar umbi.
“(Contoh) jika ada kumpulan cuba edarkan risalah ‘sayangilah Tuhan, Jesus’ kalau sesama mereka tiada masalah. Tetapi Kalau edar kepada orang Islam, ini kesalahan besar.
“Kalau nampak golongan bukan Islam cuba menarik beri bahan bacaan bukan Islam (dengan tujuan menyebar agama mereka) ambil gambar, kenal pasti dari mana dan ambil keperluan yang ada. Salurkan pada pihak universiti dan polis. Ini fardu kifayah kepada kita semua,” katanya.
Terdahulu kira-kira 400 peserta menyertai seminar itu yang antara lain bertujuan melahirkan pemikiran pemimpin dan warga yang faham pelaksanaan agama yang bebas daripada fahaman radikal.