BERITA UTAMA

Kanak-kanak GISBH jalani pemeriksaan terperinci, silibus pemulihan ikut kesesuaian

4 Nov 2024, 2:34 AM
Kanak-kanak GISBH jalani pemeriksaan terperinci, silibus pemulihan ikut kesesuaian
Kanak-kanak GISBH jalani pemeriksaan terperinci, silibus pemulihan ikut kesesuaian

SHAH ALAM, 4 NOV: Rumusan saringan dan pemeriksaan terhadap anak jagaan rumah amal GISB Holdings (GISBH) akan dibentang tengah bulan ini bagi memastikan proses pemulihan dibuat mengikut kesesuaian.

EXCO Agama Islam Dr Fahmi Ngah berkata pasukan khas yang ditubuhkan awal bulan lalu melakukan pemeriksaan terperinci meliputi kesihatan fizikal, mental, emosi serta pegangan ideologi anak-anak berkenan.

“Rumusan awal akan dibentangkan kepada saya pada pertengahan November ini supaya silibus pemulihan sedia ada dapat disesuaikan mengikut tahap yang diperlukan serta umur anak-anak ini,” katanya menerusi kenyataan.

[caption id="attachment_671342" align="alignleft" width="409"] EXCO Agama Islam Dr Fahmi Ngah ditemui media pada majlis penutup Kursus Persediaan Pelajar ke Luar Negara anjuran Jabatan Agama Islam Selangor di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Shah Alam pada 14 September 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]

Dalam pada itu, Fahmi berkata pihaknya bekerjasama dengan pentadbiran Pulau Pinang termasuk majlis agama negeri berhubung pengurusan anak GISBH Selangor yang ditempatkan di rumah perlindungan di sana.

Beliau turut mengalukan kerjasama serta bantuan pelbagai pihak terutama membabitkan tenaga pakar serta kewangan dalam usaha memulihkan anak-anak berkenaan.

“Saya yakin mereka berpotensi untuk menjadi aset Selangor yang baik sekiranya diberikan didikan dan penjagaan sewajarnya,” katanya.

Pada 22 Oktober, pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memaklumkan proses pemulihan kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah amal GISBH berjalan lancar mengikut modul ditetapkan.

Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata setiap modul bersesuaian dengan keperluan mereka selepas pasukan khas yang ditubuhkan membuat penilaian.

Pasukan berkenaan terdiri daripada wakil JAIS, Majlis Agama Islam Selangor, polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor.

Turut terlibat Lembaga Zakat Selangor, Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dan Yayasan Selgate, Persatuan Taska Negeri Selangor selain agensi swasta dan bukan kerajaan.