ad
BERITA UTAMA

Belanjawan Selangor dijangka perkukuh industri semikonduktor, manfaat teknologi AI

2 Nov 2024, 1:00 AM
Belanjawan Selangor dijangka perkukuh industri semikonduktor, manfaat teknologi AI

SUBANG JAYA, 2 NOV: Belanjawan Selangor 2025 yang dibentang 15 November ini dijangka menumpukan usaha memperkasa industri semikonduktor dan teknologi kecerdasan buatan (AI).

EXCO pelaburan berkata penekanan diberikan untuk melahirkan lebih ramai pakar teknologi tempatan dalam bidang tersebut seiring hasrat mewujudkan peluang pekerjaan bergaji tinggi.

“Saya berharap belanjawan akan datang ini menyediakan peruntukan yang secukupnya mempromosikan industri semikonduktor dan juga AI kerana ia menjadi trend yang amat penting untuk diterokai.

“Harapan saya juga disediakan dana untuk memperkasa latihan dan kursus sedia ada di institusi seperti Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC),” kata kata Ng Sze Han ditemui selepas meninjau kawasan tanah runtuh di Taman Wawasan, Puchong, semalam.

Beliau berkata penganjuran Sidang Kemuncak Niaga Selangor (SIBS) dan Pameran Udara Selangor (SAS) juga penting diteruskan pada tahun depan sekali gus memperkukuhkan status negeri sebagai hab pelaburan utama di rantau ini.

"Seperti tahun-tahun sebelumnya, saya percaya dengan kebijaksanaan Dato’ Menteri Besar dalam menyediakan belanjawan yang terbaik untuk ekonomi Selangor dan seterusnya limpahan manfaat buat setiap lapisan rakyat," katanya.

Belanjawan Selangor 2025 akan menggariskan beberapa inisiatif khusus bagi memacu ekonomi serta menarik pelaburan ke negeri ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata beberapa lagi inisiatif khusus bakal dibentang bagi menjamin kemakmuran ekonomi dapat dinikmati bersama.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.