ad
AGENDA

Kerajaan pertimbang wujud program antara universiti sempena Kepengerusian ASEAN

1 Nov 2024, 11:27 AM
Kerajaan pertimbang wujud program antara universiti sempena Kepengerusian ASEAN

KUALA LUMPUR, 1 NOV: Kerajaan mempertimbang untuk mengadakan program mempertemukan universiti atau institut latihan pertahanan antara negara Asia Tenggara bagi mengadakan aktiviti bersesuaian sempena Kepengerusian ASEAN pada tahun hadapan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata program berkenaan boleh dilangsungkan sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) yang dipengerusikan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada 2025.

“Mungkin sempena mesyuarat menteri pertahanan, diadakan satu program antara universiti atau institusi pertahanan untuk melibatkan mereka (penuntut) satu pendedahan yang baik, mungkin kita bawa satu atau dua menteri pertahanan lain ke universiti ini untuk pendedahan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Temu Anwar di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di sini hari ini sebagai reaksi kepada soalan moderator Dr Jessica Ong mengenai peluang untuk penuntut UPNM terlibat sama dalam khidmat komuniti sempena Kepengerusian ASEAN.

Perdana Menteri berkata Malaysia diletakkan harapan tinggi dalam mempengerusikan ASEAN kali ini, dengan beberapa mesyuarat terbesar akan dianjurkan pada tahun hadapan termasuk Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

Malaysia mengambil alih jawatan pengerusi ASEAN secara rasmi pada 1 Januari 2025.

- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.