ad
AGENDA

Kastam rampas 105 kilogram dadah bernilai RM3.3 juta

29 Okt 2024, 10:45 AM
Kastam rampas 105 kilogram dadah bernilai RM3.3 juta

NILAI, 29 OKT: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 105 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine dianggarkan bernilai RM3.3 juta yang diisytiharkan sebagai teh herba Cina pada 15 Okt lepas.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Ribuan Abdullah berkata sepasukan anggota dari Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM menyita lima kotak di gudang syarikat logistik di Shah Alam Selangor pada 4 petang.

Beliau berkata pemeriksaan ke atas kotak berkenaan menemukan sejumlah bungkusan teh herba Cina mengandungi bahan kristal jernih disyaki dadah jenis methamphetamine dengan berat kasar 105kg yang dianggar bernilai RM3.3 juta.

“Modus operandi, suspek menggunakan khidmat pengendali kurier dari Lembah Klang untuk menghantar bungkusan ke Keningau, Sabah.

“Ada kemungkinan dengan kuantiti sebanyak ini, dadah untuk diedar ke Indonesia kerana harga dadah berkenaan empat kali ganda lebih tinggi berbanding di Malaysia,” katanya kepada pemberita di Cawangan Narkotik JKDM, Kampung Jijan, di sini hari ini.

Ribuan berkata setakat ini tiada tangkapan dilakukan dan hasil pemeriksaan mendapati alamat pengirim tidak ditulis manakala maklumat penerima pada kotak berkenaan didapati palsu.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.