EXCO

EXCO: Selangor sambut baik cadangan cuti kesihatan mental

28 Okt 2024, 1:00 PM
EXCO: Selangor sambut baik cadangan cuti kesihatan mental
EXCO: Selangor sambut baik cadangan cuti kesihatan mental

SHAH ALAM, 28 OKT: Kerajaan Selangor menyambut baik cadangan supaya cuti kesihatan mental mandatori atau cuti tekanan dimasukkan dalam pindaan Akta Kerja 1955.

EXCO Kesihatan Jamaliah Jamaluddin berkata cadangan itu mampu menambah baik keprihatinan masyarakat terhadap kesihatan mental selain mengurangkan stigma yang dihadapi pesakit.

“Saya meraikan ada cadangan seperti ini untuk diperlihatkan. Tetapi perlu ada perbincangan atau mesyuarat jawatankuasa dan sebagainya, untuk pastikan ia tindakan terbaik.

“Saya berharap kerajaan boleh beri perhatian terhadap cadangan yang dikemukakan supaya kita dapat lihat bagaimana kita boleh promosi kesedaran lebih tinggi terhadap kesihatan mental dan mengurangkan stigma,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis sambutan Hari Psikologi dan Hari Terbuka Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (Akrab) Peringkat Setiausaha Kerajaan Selangor 2024, hari ini.

[caption id="attachment_670426" align="aligncenter" width="1128"] EXCO Kesihatan Jamaliah Jamaluddin (kanan) melawat reruai Pusat Kaunseling Selangor selepas Majlis Perasmian Hari Psikologi dan Hari Terbuka Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam Selangor (Akrab) Perkhidmatan SUK Selangor di Dewan Jubli Perak, Shah Alam pada 28 Oktober 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]

Dengan tema 'Utamakan Kesihatan Mental di Tempat Kerja', program yang diadakan di Dewan Jubli Perak, bangunan pentadbiran negeri di sini, disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato' Haris Kasim.

Kelmarin, seorang pakar sumber manusia mencadangkan cuti kesihatan mental mandatori atau cuti tekanan perlu dimasukkan dalam pindaan Akta Kerja 1955 akan datang, sama seperti peruntukan untuk cuti sakit.

Pengarah Urusan Perundingan Latihan Sumber Manusia Quantum Inno Creat Sdn Bhd (QIC), Dinesh Sekhar berkata terdapat keperluan garis panduan yang jelas bagi menangani gangguan yang memberi kesan negatif terhadap kesihatan mental pekerja.

Kenyataan Dinesh susulan gesaan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Mohd Effendy Abdul Ghani, yang mahu perubahan dan pindaan tambahan terhadap Akta Kerja 1955 untuk memasukkan elemen kesihatan mental.