KUALA KANGSAR, 27 OKT: Pelaksanaan Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) bagi mengupayakan komuniti melalui aktiviti peningkatan sosioekonomi akan melibatkan semua kampung di seluruh negara tanpa ada yang terkecuali, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata meskipun tidak dapat dilaksanakan secara serentak, namun pelaksanaannya diserahkan kepada pihak bertanggungjawab untuk menyusun program menerusi peruntukan yang diberikan dalam Belanjawan 2025 bagi meningkatkan ekonomi perkampungan.
“(Menerusi) SejaTi MADANI ini, kita seolah-olah bagi satu tanggungjawab dan cabaran langsung kepada orang kampung (dengan peruntukan) paling minimum RM50,000 dan maksimum RM100,000. Imamnya, ketua kampungnya, penghulunya, persatuan belia, wanita (kampung) dan jawatankuasa masjidnya, kome (kamu) duduklah runding betul-betul.
“Teman (Anwar) bagi dana, kome putuskan apa yang nak buat bagi kepentingan orang kampung. Ada yang beli traktor, ada yang beli bot, tetapi keputusan itu bukan keputusan seorang (namun) keputusan wakil masyarakat kampung yang boleh menghidupkan ekonomi,” katanya ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama masyarakat Padang Rengas di Dataran Arena Square Pekan Isnin, Padang Rengas di sini hari ini.
Justeru Anwar yang juga menteri kewangan meminta masyarakat kampung membuat keputusan dengan sebaik-baiknya kerana peruntukan keseluruhan RM1 bilion yang disediakan bagi inisiatif itu pada Belanjawan 2025 adalah amanah.
-BERNAMA