SHAH ALAM, 25 OKT: Selangor Fruit Valley (SFV) kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menyahut kempen menanam 100 juta pokok menjelang 2025 di ladangnya dekat Rawang.
Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) menerusi Facebook memaklumkan, sebanyak 400 pokok jambu batu lohan ditanam di SFV minggu lalu, bagi menjayakan Program Penghijauan Malaysia.
“Program ini dianjur dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Selangor, PKPS dan Kolej Antarabangsa INTI Subang Jaya bagi menyokong sasaran 100 juta pokok dalam tempoh lima tahun, bermula 2021 hingga 2025.
[caption id="attachment_669888" align="aligncenter" width="612"] Peserta Program Penghijauan Malaysia yang terdiri daripada pelajar Kolej Antarabangsa INTI Subang Jaya menanam 400 pokok jambu batu lohan di ladang Selangor Fruit Valley (SFV) yang terletak di Rawang pada 21 Oktober 2024. Foto Facebook Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia[/caption]
“Di samping itu, pelaksanaan program ini juga bertujuan untuk menggalakkan penglibatan dan kerjasama institusi pendidikan dalam merealisasikan kempen tersebut,” katanya.
Program berkenaan dihadiri Pengurus Operasi Sektor Sekuriti PKPS Mohd Ismail Abdul Aziz, Penolong Pengarah (Pemuliharaan Hutan) JPSM Nurul Hidayah Hadzuha dan Penolong Pengurus Kanan SFV Raja Muhammad Faiz.
Pada 2021, kerajaan melancarkan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2021-2025 bertujuan mempertahankan kekayaan alam semula jadi negara dalam semua aktiviti pembangunan sosioekonomi.
Kempen Penanaman 100 Juta Pokok adalah sebahagian daripada Program Penghijauan Malaysia, satu daripada agenda nasional bagi perubahan iklim serta meningkatkan kualiti hidup masyarakat.