SHAH ALAM, 25 OKT: Pengunjung Petronas Grand Prix of Malaysia (MotoGP) dipelawa mengunjungi Pavilion Tourism Selangor yang giat mempromosi Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025).
Berlangsung di Litar Antarabangsa Petronas Sepang mulai 1 hingga 3 November, orang ramai akan didedahkan dengan aktiviti sukan lasak luncur layar (paragliding), berakit meredah jeram (white water rafting) dan berkayak.
Selain itu, turut diadakan pameran buah- buahan tempatan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Selangor dan HL Dragon Fruit Sepang serta pameran dan demo makanan tempatan oleh PLATS Selangor dan Cendol Warisan Sepang.
"Orang ramai dijemput hadir ke Pavilion Tourism Selangor dan berpeluang mendapat pelbagai hadiah percuma yang ditawarkan kepada pengunjung," tulis Tourism Selangor di Facebook.
Sebelum ini, EXCO pelancongan memaklumkan Kerajaan Negeri menerusi Tourism Selangor menjalin kerjasama strategik dengan Litar Antarabangsa Petronas Sepang bagi mempromosi kempen TMS2025 dalam acara permotoran tersebut.
Dato’ Ng Suee Lim berkata kerjasama itu adalah untuk membuat hebahan awal mengenai promosi kempen TMS2025 kepada 200,000 pengunjung dalam dan luar negara sepanjang berlangsungnya MotoGP 2025.


