OLEH NOOR AMIN AHMAD
Kurang dua minggu sebelum Belanjawan 2025 dibentangkan, Bank Dunia mengeluarkan kenyataan positif mengunjurkan peningkatan pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada 4.9 peratus.
Kenaikan 0.6 peratus daripada unjuran asal pertumbuhan sebanyak 4.3 peratus. Itu dinyatakan berikutan faktor luar dan domestik yang lebih baik.
Meskipun pertumbuhan global masih relatif perlahan ke sederhana, umumnya ramai percaya ia akan beransur reda bagi membolehkan aktiviti ekonomi digiatkan semula.
Kestabilan politik dan persekitaran positif yang kian kondusif dilihat meningkatkan keyakinan pelabur untuk aktif berurus niaga di Malaysia.
Keyakinan ini turut menjadi bahan berita utama di media massa negara-negara serantau yang merasakan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sangat aktif melalui pengenalan dasar-dasar baru yang baik dan diperlukan.
Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat menjadi tunjang pertama yang meletakkan hala tuju ekonomi di bawah pentadbiran Anwar Ibrahim, diikuti Pelan Induk Perindustrian Baharu, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, Pelan Strategik Semikonduktor Kebangsaan, Pelan Tindakan KL20 dan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera yang menjelaskan lagi hala tuju negara di masa hadapan.
Dari aspek fiskal, kerajaan telah menggubal Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal dan mengemukakan Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta.
Susulan itu kita melihat beberapa tindakan pantas dan berani diambil misalnya melalui Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dan dasar penyasaran subsidi.
Ini diikuti dengan penekanan berterusan tentang kepentingan pemulihan tatakelola melalui Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional, Pindaan Akta Audit dan Ikhtiar Reformasi Karenah Birokrasi.
Dengan kadar inflasi berada pada tahap baik sekitar 1.9 peratus serta kadar pengangguran berada pada tahap 3.2 peratus, ternyata ekonomi Malaysia umumnya berada pada tahap yang baik.
Pembetulan fiskal
Dalam Belanjawan 2025 berjumlah RM421 bilion yang dibentangkan Anwar pada hari Jumaat lalu, defisit fiskal berada pada tahap 3.8 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), iaitu pengurangan secara konsisten dari 5.8 peratus pada tahun 2022, kepada 5.0 peratus (2023) dan 4.3 peratus (2024).
Walaupun begitu, kerajaan masih lagi terhimpit dengan sumber hasil yang belum cukup memuaskan. Kita dapat lihat misalnya, daripada 339.7 billion jumlah hasil yang dijangkakan, sebanyak RM335 billion adalah peruntukan belanja mengurus.
Ini bermaksud jumlah sebenar hasil cukai yang dibelanjakan untuk tujuan pembangunan hanya sekitar 2 peratus, sebelum selebihnya ditanggung melalui hutang.
Ini kekal menjadi dilema jangka panjang memandangkan perbelanjaan pembangunan kita nampaknya sama seperti pada tahun lalu.
[caption id="attachment_668924" align="aligncenter" width="732"] Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melihat proses pengeluaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) secara tunai oleh penerima M Tanabakiam, 52, ketika hadir pada Majlis Sumbangan Rahmah di pekarangan Bank Simpanan Nasional Meru, Ipoh pada 10 April 2023. Foto BERNAMA[/caption]
Namun, kita berterima kasih kerana Anwar tegas dengan komitmennya untuk tidak bertumpu kepada projek-projek mega.
Sebaliknya, lebih banyak projek yang dekat dengan rakyat akan diberikan keutamaan.
Sebagai contoh, sejak 2023, sebanyak 35 sekolah baru telah mula dibina dan bagi tahun 2024 sahaja, sebanyak 44 sekolah baru akan mula dibina.
Ini menjadikan secara keseluruhannya akan terdapat 79 sekolah baru bagi menampung peningkatan jumlah penduduk sekali gus membuka lebih banyak peluang kerja dalam bidang perguruan dan pengurusan.
Malah, lebih RM55 bilion belanja mengurus disalurkan untuk pelbagai jenis subsidi, bantuan dan insentif. Ini belum termasuk lebih RM10 bilion yang akan membiayai kenaikan gaji penjawat awam.
Dengan jumlah besar penjimatan dalam program penyasaran subsidi, kita mengharapkan lebih banyak program pembangunan dapat dibuat.
Keseimbangan antara pertumbuhan dan agihan kekayaan, kemajuan dan usaha merapatkan jurang pembangunan, dorongan ekonomi dan berhemah kekal menjadi tema ekonomi yang diyakini oleh Anwar Ibrahim sejak dulu.
Ini adalah masa terbaik untuk Anwar menunjukkan contoh kepada dunia, khususnya kepada negara-negara Asean di mana beliau baru dilantik sebagai pengerusi yang baru.
Noor Amin ialah pengerusi Institut Terjemahan & Buku Malaysia, juga bekas ahli parlimen