Pertama dalam negara, Surau Plus Madani di kawasan rehat dan rawat (R&R) Seremban Arah Selatan yang baru dinaik taraf menampilkan reka bentuk moden, lestari, juga mesra pengguna berserta ciri khas bagi orang kurang upaya.
Mampu memuatkan 300 jemaah, dengan elemen kelestarian, surau itu menggunakan air hujan dikitar semula untuk jemaah berwuduk selain dilengkapi kemudahan solar bagi menjana elektrik.
[caption id="attachment_669485" align="aligncenter" width="775"]
Dinding ruang wuduk jemaah lelaki yang terbuka memaksimumkan pengudaraan dan pencahayaan semula jadi antara daya tarikan di Surau Plus Madani kawasan rehat dan rawat (R&R) Seremban Arah Selatan. Foto Plus Malaysia Berhad (Plus)[/caption]
Dibina dengan siling tinggi, surau itu memaksimumkan pengudaraan dan pencahayaan semula jadi melalui laman terbuka. Sekali gus mewujudkan persekitaran terang serta mengoptimumkan penggunaan tenaga dan penyelenggaraan.
“Ia selari dengan enam tonggak Madani iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan. Surau ini menampilkan reka bentuk yang lestari dan mesra pengguna,” kata Plus Malaysia Berhad (Plus) kepada Selangorkini pada 3 Oktober.
Plus turut berhasrat menjadikan surau tersebut sebagai perintis kepada pembaharuan di 284 kemudahan sama sepanjang lebuh raya kendalian syarikat konsesi berkenaan.
[caption id="attachment_669486" align="aligncenter" width="712"]
Rel pemegang dan tempat duduk khas untuk solat antara kemudahan yang disediakan khas kepada jemaah berkeperluan khas di Surau Plus Madani kawasan rehat dan rawat (R&R) Seremban Arah Selatan. Foto Plus Malaysia Berhad (Plus)[/caption]
Jemaah berkeperluan khas pula juga tidak dilupakan. Dilengkapi dengan rel pemegang untuk memudahkan mereka beribadah. Masing-masing turut diperuntuk satu tempat duduk untuk berwuduk.
“Tempat duduk kekal ini direka khas untuk memastikan keselesaan dan kebolehgunaan yang optimum kepada semua jemaah, termasuk golongan yang mempunyai keperluan khas,” kata agensi itu lagi.
Lantainya pula dipasang jubin bermotif kayu dan antigelincir selain mengelakkan bau yang kurang menyenangkan.
[caption id="attachment_669487" align="aligncenter" width="813"]
Dibina dengan siling tinggi, Surau Plus Madani di kawasan rehat dan rawat (R&R) Seremban Arah Selatan memaksimumkan pengudaraan dan pencahayaan semula jadi melalui laman terbuka. Foto Plus Malaysia Berhad (Plus)[/caption]
Dirasmikan Perdana Menteri pada 8 September, Datuk Seri Anwar Ibrahim kagum dengan pembangunan R&R lestari pertama berkenaan dan menyifatkan surau itu sebagai terbaik.
“Biasanya surau di R&R (keadaannya kurang memuaskan)... saya tidak tahan dengan baunya, tempat sempit. Namun, Surau Plus Madani ini adalah surau terbaik yang pernah saya lihat.
“Menggunakan pengudaraan dan air semula jadi, (sistem) solar. Saya ucapkan terima kasih,” kata beliau ketika meninjau surau itu.
Projek penambahbaikan dan naik taraf semua 284 surau dalam jajaran Plus akan dilaksana berperingkat apabila dua lagi surau bakal berwajah baharu berdasarkan model Surau Plus Madani pada 2025.
Projek naik taraf R&R tersebut merangkumi Surau Hentian Sebelah Pedas Linggi (arah utara) dan Hentian Sebelah Bukit Gantang (arah selatan) tahun depan, antara perancangan jangka panjang dalam pelan induk Plus.
Pendekatan tersebut dilaksanakan demi meningkatkan keselesaan dan menyediakan kemudahan yang lebih baik kepada pengguna di setiap surau sepanjang lebuh raya itu.
Surau antara sebahagian kerja naik taraf pembangunan semula R&R Seremban Selatan itu dilapor menelan belanja sebanyak RM45 juta.


