ad
AGENDA

Amah Indonesia dipukul dua beranak kerana lupa buat kerja rumah

21 Okt 2024, 10:57 AM
Amah Indonesia dipukul dua beranak kerana lupa buat kerja rumah

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Polis menahan dua beranak disyaki mencederakan pembantu rumah warga Indonesia kerana dikatakan malas dan sering lupa membuat kerja rumah di sebuah rumah di Taman Putra Sulaiman di sini, pada 14 Okt lepas.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail berkata ibu dan anak perempuan masing-masing berusia 61 dan 40 tahun itu ditahan selepas polis menerima laporan daripada mangsa yang berusia 25 tahun pada 2.25 petang, 13 Okt lepas.

Beliau berkata mangsa yang telah bekerja sebagai pembantu rumah selama dua tahun mendakwa dicederakan majikannya menggunakan tukul, pengepit besi dan seterika panas.

“Akibat tindakan itu, mangsa cedera di bahagian tangan dan kaki serta berjaya keluar dari rumah bagi mendapatkan bantuan orang awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Azam berkata semakan mendapati kedua-dua wanita berkenaan tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan telah diberikan jaminan polis sehingga siasatan selesai.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.