ad
AGENSI

Potongan cukai 50 peratus kepada majikan, cuti penjagaan berbayar tingkat sosioekonomi rakyat

20 Okt 2024, 5:33 AM
Potongan cukai 50 peratus kepada majikan, cuti penjagaan berbayar tingkat sosioekonomi rakyat

SHAH ALAM, 20 OKT: Kerajaan Selangor menyambut baik potongan cukai sebanyak 50 peratus kepada majikan yang menyediakan cuti penjagaan tambahan berbayar menerusi Belanjawan 2025, kelmarin.

EXCO pembangunan wanita berkata inisiatif itu selaras dengan matlamat Dasar Wanita Selangor 2024-2026 iaitu meningkatkan status sosioekonomi dan autonomi wanita yang terpinggir.

“Individu khasnya ibu-ibu yang menjaga ahli keluarga yang sakit sewajarnya diberikan cuti penjagaan berbayar yang tidak ditolak daripada cuti tahunan.

“Memberikan cuti penjagaan ialah khidmat kecil kita untuk menghargai dan memartabatkan penjaga,” kata Anfaal Saari menerusi kenyataan di Facebook.

Belanjawan 2025 memperuntuk potongan cukai sebanyak 50 peratus kepada majikan yang menyediakan kemudahan cuti penjagaan tambahan berbayar sehingga 12 bulan kepada pekerja yang menjaga anak atau ahli keluarga yang sakit atau kurang upaya.

Cadangan potongan cukai itu juga melibatkan penggajian yang dibayar untuk tempoh 12 bulan kepada majikan yang menggaji wanita kembali bekerja.

Beliau menambah, kemudahan cuti penjagaan berbayar akan memudahkan serta memberi motivasi kepada golongan wanita untuk terlibat dalam kegiatan sosioekonomi.

Malah, katanya, majikan turut menerima manfaat berikutan keadaan pekerja menjadi lebih tenang dan bermotivasi sekali gus meningkatkan produktiviti serta menguntungkan syarikat.

“Diharapkan agar cuti penjagaan berbayar ini dapat diarus-perdanakan, agar kita dapat mendaulatkan penjaga, menyayangi yang dijaga,” katanya.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.