AGENDA

MTUC gesa majikan patuh gaji minimum RM1,700, elak eksploitasi pekerja

19 Okt 2024, 8:15 AM
MTUC gesa majikan patuh gaji minimum RM1,700, elak eksploitasi pekerja

SHAH ALAM, 19 OKT: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berharap kenaikan kadar gaji minimum diumumkan menerusi Belanjawan 2025 semalam dapat dilaksanakan dengan penguatkuasaan yang tegas.

Presidennya Mohd Effendy Abdul Ghani berkata majikan perlu bertanggungjawab sepenuhnya mematuhi kadar gaji minimum baharu itu tanpa sebarang cubaan mengelak atau mengeksploitasi pekerja.

"MTUC menyambut baik pengumuman kenaikan gaji minimum dalam pembentangan Belanjawan 2025 yang diumumkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan (Datuk Seri Anwar Ibrahim).

"Kenaikan ini menunjukkan komitmen kerajaan terhadap kesejahteraan pekerja di seluruh negara, terutamanya mereka yang berada dalam kumpulan berpendapatan rendah," katanya menerusi kenyataan.

Dalam pada itu, Mohd Effendy berharap penguatkuasaan undang-undang berkaitan kenaikan kadar gaji minimum itu juga dapat diperkukuhkan untuk memastikan hak pekerja dilindungi.

Jelasnya, MTUC turut menggesa kerajaan menyediakan sokongan seperti insentif dan latihan kepada sektor perusahaan kecil dan sederhana bagi membantu mereka menyesuaikan diri dengan peningkatan kos operasi susulan kenaikan gaji itu.

"Majikan besar juga digesa menawarkan gaji yang lebih tinggi daripada kadar gaji minimum ditetapkan kerajaan itu sebagai langkah proaktif menghargai sumbangan pekerja dan meringankan kos sara hidup.

"MTUC percaya kenaikan gaji minimum bukan sahaja meningkatkan taraf hidup pekerja tetapi juga memacu pertumbuhan ekonomi melalui peningkatan kuasa beli rakyat," katanya.

Semalam, menerusi pembentangan Belanjawan 2025, kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 sebulan kepada RM1,700 sebulan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Feb 2025.

Kerajaan turut memutuskan penangguhan kuat kuasa gaji minimum RM1,700 membabitkan majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja bagi tempoh enam bulan iaitu berkuat kuasa pada 1 Ogos 2025.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.