SHAH ALAM, 19 OKT: Kerangka Insentif Pelaburan Baharu diwujudkan dengan menumpukan aktiviti bernilai tinggi, bermula suku ketiga tahun depan, kata perdana menteri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan kerangka berkenaan turut memperkenal dana pelaburan strategik bernilai RM1 bilion bagi meningkatkan kapasiti bakat tempatan.
“Pendekatan lama dalam memberi galakan dan insentif kepada pelabur tanpa mengambil kira limpahan ekonomi yang diraih tidak lagi boleh digunakan.
“Anjakan segar dan penekanan harus dilakukan supaya galakan yang diberikan dapat memberi limpahan ekonomi kepada rakyat dan negara, tidak hanya lebih menguntungkan syarikat pelabur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2025 dengan tema Membugar Ekonomi, Menjana Perubahan, Mensejahtera Rakyat di Dewan Rakyat, petang semalam.
Menurut Anwar, Kerangka Insentif Pelaburan Baharu dengan enam dasar itu bakal meningkatkan tahap kerencaman sektor ekonomi elektrik dan elektronik melalui aktiviti bernilai tambah tinggi.
Jelasnya, ia juga dijangka menyediakan pekerjaan berpendapatan tinggi kepada rakyat dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan teknologi terkini selain memperkenal Ikhtiar Ketahanan Rantaian Bekalan.
“Perkumpulan ekonomi diwujudkan mengikut keistimewaan negeri seperti tenaga boleh baharu di Perlis dan Sabah, industri kimia khusus di Pahang dan Terengganu.
“Kerangka Insentif Pelaburan Baharu ini akan terus disokong melalui fasilitasi pelaburan yang inklusif untuk merangsang pertumbuhan ekonomi yang seimbang di seluruh negara,” katanya.








