AGENSI

Tuan rumah SUKMA 2026, Selangor titik berat elemen penting

19 Okt 2024, 4:10 AM
Tuan rumah SUKMA 2026, Selangor titik berat elemen penting
Tuan rumah SUKMA 2026, Selangor titik berat elemen penting

SHAH ALAM, 19 OKT: Persiapan Selangor sebagai tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 mengambil kira pelbagai elemen bagi memastikan penganjurannya kemas dan cemerlang.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata elemen dititik berat merangkumi semua termasuk aset, pegawai bertugas dan sukarelawan untuk temasya edisi ke-22 itu.

"Kertas kerja dibentangkan Majlis Sukan Negeri Selangor untuk melihat kos dan pengurusannya. Penganjuran SUKMA memerlukan banyak elemen selain penggunaan aset dan fasiliti seperti dewan.

"Lain yang kita perlukan ialah pegawai bertugas menjadi juri dan pengadil, kepakaran persatuan dan sukarelawan. Kita anggarkan sukarelawan sekurangnya 7,000 orang supaya kemas dan lancar," katanya

Beliau ditemui malam tadi pada majlis pemberian insentif kepada lebih 300 atlet dan pegawai cemerlang dalam SUKMA 2024 di Sarawak, Ogos lalu. Turut hadir EXCO Sukan Najwan Halimi.

[caption id="attachment_668894" align="alignleft" width="456"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas majlis Anugerah Sukan Negeri Selangor 2023 dan penyerahan Insentif Kemenangan Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 18 Oktober 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]

Berikutan itu, Amirudin berharap semua pihak dapat memainkan peranan dan tanggungjawab untuk memastikan temasya yang mengumpulkan hampir 10,000 atlet dan pegawai berlangsung dengan baik.

"Selaku tuan rumah, sudah pasti terdapat tekanan dan harapan tinggi. Kita perlukan sokongan semua sama ada atlet, pegawai dan kesatuan. Tidak boleh ada pihak lepas tangan, harus ada kerjasama.

"Melalui semangat bersama, saya yakin dapat capai kejayaan dan Selangor mampu mengulangi kejuaraan kali terakhir pada 2016," katanya lagi.

SUKMA ke-21 yang berlangsung di Sarawak bermula 17 hingga 24 Ogos lalu menyaksikan Selangor berada pada kedudukan ketiga dengan mengumpul 56 emas, 64 perak dan 61 gangsa.

Selangor secara rasmi menjadi tuan rumah SUKMA edisi ke-22 pada 2026, kali kedua selepas menganjurkan temasya sama pada 1998.

Julai lalu, Amirudin memaklumkan kesediaan Kerajaan Negeri menggunakan Stadium Shah Alam yang baharu jika infrastruktur berkenaan siap lebih awal daripada waktu ditetapkan.