SHAH ALAM, 18 OKT: Sebanyak RM100 juta diperuntuk untuk meneruskan insentif galakan untuk pekebun kecil menanam semula sawit bagi menggantikan pokok tua yang tidak lagi produktif.
Insentif ini merupakan antara langkah kerajaan bagi memperkukuhkan sektor sawit negara seperti diumumkan Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan Madani Ketiga Tahun 2025 di Dewan Rakyat hari ini.
Selain itu, kerajaan juga bercadang menaikkan nilai ambang kenaan levi keuntungan luar biasa ke atas buah kelapa sawit bagi Semenanjung Malaysia kepada RM3,150, manakala bagi Sabah dan Sarawak kepada RM3,650.
"Manakala, struktur julat harga pasaran dan kadar duti eksport minyak sawit mentah disemak semula mulai 1 November 2024.
"Layanan semasa bagi eksport minyak sawit mentah dari Sabah dan Sarawak juga akan dikekalkan," katanya.
Sementara itu, Anwar berkata Kerajaan akan memperkenalkan Cukai Karbon ke atas industri besi dan keluli serta tenaga menjelang tahun 2026.
Menurut beliau langkah terbabit bertujuan menggalakkan penggunaan teknologi rendah karbon.
"Hasil daripada cukai ini akan dimanfaat untuk membiayai program penyelidikan dan teknologi hijau," katanya.