SHAH ALAM, 18 OKT: Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM10 juta kepada Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) untuk menambah 100 jawatan bagi mengekang ancaman siber.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata cadangan itu sesuai dengan komitmen membenteng keselamatan siber negara dan penggubalan Akta Keselamatan Siber 2024.
“Ancaman siber kini semakin menggugat tata hidup bermasyarakat dan menjadi lebih membimbangkan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.
“Isu scam, pornografi kanak-kanak, pembulian siber di media sosial sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa ialah isu besar yang mesti dibendung.”
Justeru, bagi mengekang buli siber yang dianggap “kian merunsingkan”, Anwar berkata Rang Undang-undang Keselamatan Dalam Talian akan digubal.
Katanya, ia bertujuan memastikan penyedia perkhidmatan turut bertanggungjawab meningkatkan tahap keselamatan khususnya melibatkan kanak-kanak.
Mengulas isu penipuan, menteri kewangan mengakui ia dilihat parah dan kes semakin meningkat sekalipun lebih RM380 juta transaksi mencurigakan berjaya disekat.
Bagi membendung isu berkenaan Anwar mengumumkan:
- Peranan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan terus diperhebat dengan peruntukan RM20 juta
- Sebuah Portal Fraud Kebangsaan telah diluncurkan sebagai ikhtiar memerangi penipuan dalam talian. Portal ini mempermudah pengesanan transaksi mencurigakan secara automatik.
- Akta 574 Kanun Keseksaan dan Akta 593 Kanun Prosedur Jenayah telah dipinda bagi membolehkan tindakan lebih berkesan diambil oleh badan penguat kuasa untuk mengekang sindiket akaun keldai, pada tahun ini.