SHAH ALAM, 18 OKT: Institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang menawarkan kursus baharu seperti teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) akan diberi potongan cukai khas tahun depan, kata perdana menteri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kursus lain termasuk robotik, Internet kebendaan (IoT), sains data, Fintech dan teknologi mampan.
"Bagi menyediakan pekerjaan berpendapatan tinggi kepada rakyat dalam bidang AI, potongan cukai khas diberikan kepada IPTS yang membangunkan kursus baharu seperti teknologi digital, AI, robotik, IoT, sains data, FinTech dan teknologi mampan," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.
Selain itu, galakan cukai untuk peningkatan eksport diperluas kepada aktiviti reka bentuk litar bersepadu (IC) bagi meningkatkan tahap kerencaman sektor ekonomi elektrik dan elektronik melalui aktiviti bernilai tambah seperti perkhidmatan reka bentuk IC dan bahan termaju.
Anwar turut mengumumkan bagi mengukuhkan rantaian bekalan tempatan dan ekosistem sektor utama, Ikhtiar Ketahanan Rantaian Bekalan diperkenal dengan beberapa insentif termasuk perbelanjaan perusahaan multinasional sehingga RM2 juta setahun diberi potongan cukai dua kali untuk tempoh tiga tahun berturut-turut.
"Selain itu dana padanan pelaburan lebih RM100 juta ringgit disediakan melalui platform pendanaan awam ekuiti untuk pengembangan pembekal tempatan dalam sektor elektrik dan elektronik, kimia khusus dan peranti perubatan.
"Perusahaan multinasional atau pembekalnya yang membuat pelaburan usaha sama dengan pembekal tempatan lain diberi potongan cukai ke atas jumlah pelaburan dibuat selain pembekal tempatan yang terlibat dalam usaha ini akan diberi pakej insentif cukai yang bersesuaian berasaskan keberhasilan," katanya.


