AGENDA

Kerjasama awam-swasta dijangka sedia 900,000 peluang kerja menjelang 2030

18 Okt 2024, 10:11 AM
Kerjasama awam-swasta dijangka sedia 900,000 peluang kerja menjelang 2030

SHAH ALAM, 18 OKT: Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) dijangka menjana 900,000 peluang pekerjaan menjelang 2030 dengan nilai pelaburan swasta RM78 bilion.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata PIKAS menggariskan hala tuju ampuh dalam memperkukuh hubungan strategik agensi awam dan swasta.

“Tumpuan utama untuk meningkatkan pelaburan swasta sebanyak RM78 bilion dan menjana 900,000 peluang pekerjaan menjelang 2030.

“Projek pembangunan akan dilaksanakan dengan mengambil kira elemen 'pengguna bayar' bagi meredakan bebanan fiskal kerajaan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, sebanyak lima projek berkepentingan rakyat bakal mengguna pakai pendekatan Kerjasama Awam-Swasta (PPP) menerusi PIKAS.

Lima projek itu adalah:

  • Hospital Sultanah Aminah 2 di Johor
  • Lebuhraya Bertingkat Juru dan Sungai Dua, Pulau Pinang
  • Lebuh Raya WISE dari Gopeng ke Kuala Kangsar, Perak
  • Projek Tanaman Padi Lima Musim Dua Tahun di kawasan Mada Kedah dan Perlis
  • Lebuh Raya Pantai Barat (WCE) bagi jajaran Banting ke Gelang Patah.

Pada 9 September lalu, Anwar melancarkan PIKAS 2030 bagi mengukuhkan tatakelola dan pengurusan projek yang dilaksana melalui pendekatan kerjasama awam-swasta.

PIKAS 2030 adalah kesinambungan daripada dasar dan garis panduan kerjasama awam-swasta sedia ada yang diberi nilai tambah dengan hala tuju lebih jelas dan terangkum.