ad
BERITA UTAMA

Berbeza tafsir al-Quran, hadis wujud sejak zaman Rasulullah

18 Okt 2024, 5:19 AM
Berbeza tafsir al-Quran, hadis wujud sejak zaman Rasulullah
Berbeza tafsir al-Quran, hadis wujud sejak zaman Rasulullah

Pada era Nabi Muhammad masih hidup, sudah berlaku perbezaan pentafsiran terhadap al-Quran. Al-Imam Ahmad bin Hanbal ada meriwayatkan hadis bahawa ketika terjadi perang Zat al-Salasil pada tahun ke-8 hijrah.

Dalam perang terbabit, Amru Bin al-As selaku panglima perang telah bermimpi yang menyebabkan mandi junub. Namun, pada paginya, dia tidak mandi junub, bahkan sekadar bertayammum sahaja, lalu menjadi imam solat jemaah bersama sahabat-sahabat nabi yang lain.

Para sahabat rasa gelisah – mereka sangsi, apakah solat jemaah mereka pada subuh itu sah? Hal ini kerana, Amru hanya sekadar bertammum sahaja, sedangkan dia wajib mandi junub. Apabila mereka pulang – sampai di madinah, mereka maklumkan hal itu kepada Baginda. Dengan itu, Amru dipanggil oleh Nabi dan berkata: “Wahai Amru, bagaimana kamu boleh menjadi imam kepada solat jemaah, sedangkan kamu berjunub?”.

Amru terus berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya cuaca amat sejuk yang jika aku mandi junub, ia boleh memberi kesan bahaya pada diriku. (Makanya aku bertayammum kerana) aku pernah dengan firman Allah dalam al-Quran: jangan kamu bunuh diri kamu, sesungguhnya Allah sayang kepada kamu”. (Surah al-Nisa’, ayat 29)

Penjelasan Amru bin al-As terhadap ayat 29, Surah al-Nisa’ terbabit menggambarkan pentafsirannya berbeza dengan kefahaman Nabi saw sendiri, iaitu Amru meluaskan pentafsiran maksud bunuh diri dalam ayat itu adalah dengan mandi junub dalam cuaca sejuk yang membahayakan kesihatan juga termasuk dalam maksud ayat al-Quran terbabit.

Mendengar pentafsiran Amru bin al-As terbabit, hadis itu menyatakan Nabi SAW pun ketawa dan tidak berkata apa-apa. (Ahmad, hadis no: 17812)

Memandangan pentafsiran terhadap ayat al-Quran yang dikemukakan oleh Amru bin al-As, itu membuktikan bahawa kepelbagaian dalam pentafsiran terhadap teks Islam adalah sesuatu yang tidak boleh dinafikan. Ia sememangnya berlaku. Ini dikuatkan lagi dengan satu hadis bahawa 3 tahun sebelum perang Zat al-Salasil, iaitu ketika tercetus perang al-Ahzab pada tahun 8 hijrah bahawa Nabi saw ada menghantar pasukan perang. Sebelum mereka bertolak, Nabi saw ada berpesan: “Jangan ada seorang pun dari kalangan kamu tunaikan solat asar kecuali sampai di bani Quraizah”.

Dalam perjalanan, masuk waktu asar, sedangkan penempatan Bani Quraizah masih jauh lagi. Dengan itu, para tentera terbahagi kepada dua; pertama, kalangan yang berkata: “Kita tidak boleh solat kecuali kita sampai di sana terlebih dahulu”. Kedua, kalangan yang berkata: “Kita boleh solat di sini, walaupun kita belum sampai di sana”. Kalangan kedua ini memahami maksud pesanan Nabi itu adalah berjalan dengan segera agar pada waktu asar sudah sampai di penempatan Bani Quraizah.

Berita tersebut sampai kepada Nabi SAW. Mendengar itu, Baginda tidak marah dan tidak menegur perbuatan dua kalangan sahabat terbabit. (Bukhari, hadis no: 4119)

[caption id="attachment_647781" align="alignnone" width="878"] Al-Quran dari Thailand menggunakan motif
hiasan bunga lebih besar antara manuskrip yang di pamerkan pada Pameran al-Wahyu pada Festival Turath Islami Selangor 2024 di Masjid Negeri, Shah Alam pada 26 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI[/caption]

Zaman nabi

Dari dua kisah ini, kita dapati bahawa pentafsiran terhadap al-Quran dan perkataan Nabi SAW sememangnya sudah berlaku. Jika pada era nabi pun sudah berlaku, sudah pasti pentafsiran pelbagai itu berlaku pada era selepas Nabi. Contohnya, selepas kewafatan Nabi, dalam kalangan sahabat berbeza pendapat berkenaan Nabi melihat Allah pada malam Isra’ dan Mikraj. Ibn Abbas yang merupakan sepupu Nabi SAW menyatakan bahawa Nabi SAW melihat Allah dengan hatinya, sedangkan Aisyah dan Ibn Mas’ud menafikan bahawa Baginda nampak Allah, tetapi yang Baginda nampak itu adalah jibril. Abu Zar pula menyatakan bahawa Baginda hanya nampak cahaya sahaja. (muktasar Zad al-Ma’ad, h. 106)

Melihat pada era Nabi dan sahabat pun sudah berlaku perbezaan dalam pentafsiran, sudah pasti lebih rencam pentafsiran yang berlaku pada era selepas itu. Apatah lagi, Islam bukan sekadar berlegar dalam masyarakat Arab, malah sudah beredar di sekitar masyarakat bukan Arab, seperti Islam sudah pasti ke Farsi.

Apabila masyarakat Farsi yang tidak terbiasa dengan bahasa arab, maka para ilmuan Islam mula membentuk manhaj atau metode serta kaedah-kaedah dalam memahami teks Islam ini. Ekoran itu, lahir mazhab-mazhab yang semuanya menjurus kepada mencari pentafsiran terhadap Teks Islam yang paling tidak salah.

Al-Qaradawi pernah menyebut bahawa kepelbagaian pentafsiran ini berlaku dengan sebab-sebab berikut;

Pertama: Apabila perkataan yang digunakan dalam teks Islam itu mempunyai pelbagaian makna. Contohnya, perkataan “quru’” dalam ayat ke-228, Surah al-Baqarah yang menyatakan bahawa perempuan yang diceraikan suaminya bahawa ia perlu iddah selama 3 kali quru’. Perkataan itu terdapat dua tafsiran dari ulama, iaitu suci atau haid.

Kedua: Apabila wujud teks Islam yang dilihat kelihatan bercanggah. Contohnya, ada hadis bahawa sahabat menyebut bahawa Nabi SAW semasa mahu sujud dalam solat bahawa baginda akan mulakan dengan dua lutut, kemudian baru diletak dua tangan dan seterusnya dahi. Namun, dalam hadis lain bahawa Nabi SAW menyuruh agar dahulukan dua tangan terlebih dahulu, baru meletakkan dua lutut. Kekhilafan hadis ini menjadikan Imam Malik mengambil riwayat pertama dan menolak riwayat kedua, sedangkan Imam Syafie pula mentakwilkan bahawa asal perbuatan sujud adalah pada riwayat pertama, sedangkan riwayat kedua pula merujuk kepada orang yang menghadapi penyakit yang jika dipakai dengan cara riwayat pertama, ia mengundang kesukaran.

Ketiga: Apabila berlaku proses adaptasi hukum terhadap konteks manusia. Contohnya, dalam menentukan status haram hisap rokok yang para ulama berhukum berdasarkan apa yang diberitahu oleh pakar. Ada pakar menyatakan, rokok adalah memudaratkan, maka difatwakan sebagai haram. Ada pula pakar menyatakan, ia sekadar membusukkan mulut sahaja, maka difatwakan makruh oleh ulama.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.