Wacana Islam mempunyai latar sejarah yang amat panjang. Walau terdapat wacana Islam berkaitan dengan ketamadunan, peradaban, ekonomi, sosiologi, falsafah dan sebagainya, wacana yang paling utuh sejak era awal sehingga kini ialah kaedah memahami teks wahyu Islam dalam mencari kefahaman yang bertepatan dengan kehendak Tuhan.
Daripada wacana itu, lahir satu tradisi ilmu dalam Islam yang disebut sebagai Usul al-Syariah, iaitu bagaimana idrak atau mencerap teks Islam yang merangkumi kepada dua perkara besar;
(a) Keabsahan sesuatu fakta yang disandarkan kepada agama yang dalam bahasa ilmunya disebut sebagai thubut
(b) Keabsahan kefahaman terhadap fakta yang dalam bahasa ilmunya disebut sebagai dilalah
Dari sudut penulisan, al-Imam al-Syafie (lahir 150 Hijrah – meninggal 204 Hijrah) ialah ulama Islam pertama menulis berkenaan hal ini menerusi karya beliau yang bertajuk al-Risalah.
Pun begitu, kaedah-kaedah yang beliau kemukakan dalam kitab terbabit sudah diguna pakai dalam perbahasan ilmu oleh ulama – ulama sebelum beliau, seperti al-Imam Abu Hanifah (lahir 80 Hijrah – meninggal 150 Hijrah) dan al-Imam Malik (lahir 93 Hijrah – meninggal 179 Hijrah).
Daripada dua perkara ini, lahir pula beberapa klasifikasi tradisi ilmu Islam seperti berikut;
(1) Ilmu Usul al-Hadis yang memfokuskan kepada cara untuk memastikan sejauh mana sesuatu penceritaan yang disandarkan kepada Nabi SAW dan para sahabat itu, benar-benar ia datang daripada sumbernya yang asal.
Daripada ilmu ini, lahir beberapa orang jaguh yang terkenal seperti al-Imam al-Bukhari (lahir 194 Hijrah, meninggal 256 Hijrah), al-Imam Muslim (lahir 206 Hijrah, meninggal 261 Hijrah), al-Imam Tirmizi (lahir 209 Hijrah dan meninggal 279 Hijrah), al-Imam Abu Daud (lahir 202 Hijrah, meninggal 275 Hijrah), al-Imam al-Nasaie (lahir 215 Hijrah, meninggal 313 Hijrah dan al-Imam Ibn Majah (lahir 209 Hijrah, meninggal 273 Hijrah) dan ramai lagi.
(2) Ilmu Usul al-Fiqh yang memfokuskan kepada cara memastikan sesuatu pentafsiran terhadap teks al-Quran dan hadis yang berkaitan dengan amalan perbuatan agar tidak terjebak kepada pemahaman yang menyeleweng.
Daripada ilmu ini, lahir beberapa orang jaguh yang terkenal seperti al-Imam Abu Hanifah, al-Imam Malik, al-Imam al-Syafie, al-Imam Ahmad bin Hanbal (lahir 164 Hijrah, meninggal 241 Hijrah) dan ramai lagi.
(3) Ilmu Kalam yang memfokuskan cara kefahaman daripada teks berkenaan konsep ketuhanan. Daripada ilmu ini, lahir beberapa orang jaguh seperti al-Imam Abu al-Hasan al-Asya’ari (lahir 260 Hijrah – meninggal 324 Hijrah), al-Imam Abu Mansur al-Maturidi (lahir 241 Hijrah, meninggal 333 Hijrah), al-Imam Ibn Taimiyyah (lahir 661 Hijrah, meninggal 728 Hijrah) dan sebagainya.
(4) Ilmu Tasawwuf atau Tazkiyah al-Nafs yang memfokuskan berkenaan cara kefahaman yang berpaksikan jiwa dan rasa hati agar tidak tersasar dari batasan syariah.
Daripada tradisi ilmu ini, lahir beberapa orang jaguh seperti al-Imam Junaid al-Baghdadi (lahir 215 Hijrah, meninggal 298 Hijrah), al-Imam al-Ghazali (lahir 450 Hijrah, meninggal 505 Hijrah), al-Imam Ibn al-‘Arabi (lahir 558 Hijrah, meninggal 638 Hijrah), al-Imam Jalaluddin al-Rumi (lahir 604 Hijrah, meninggal 672 Hijrah) dan banyak lagi.
(5) Maqasid Syariah yang memfokuskan pencarian terhadap maksud dan tujuan di sebalik penurunan syariah. Jaguh dalam bidang ilmu ini seperti al-Imam al-Syatibi (meninggal 790 Hijrah), Tahir Ibn ‘Asyur (lahir 1296 Hijrah, meninggal 1393 Hijrah) dan ramai lagi.
Ilmu ini lebih berkembang pesat pada era sekarang dan ada beberapa tokoh yang terkenal seperti Dr Yusuf al-Qaradawi, Dr Ahmad al-Raisuni, Abdullah bin Bayyah dan ramai lagi.
Kelahiran tokoh
Daripada kelima-lima tradisi ilmu usul ini, berkembang pula beberapa tradisi ilmu seperti Ilmu Usul al-Tafsir, iaitu kaedah-kaedah dalam memastikan pentafsiran al-Quran tidak menyanggahi maksud syariah diturunkan, serta mencerap pemahaman terhadap sesuatu ayat al-Quran agar tidak menyanggahi dengan sumber wahyu yang lain seperti hadis dan ijmak ulama.
Daripada sini, lahir beberapa jaguhnya seperti al-Imam Fakr al-Din al-Razi (lahir 544 Hijrah, meninggal 604 Hijrah) yang banyak memfokuskan perbahasan tafsir daripada kaca mata ilmu kalam, al-Imam al-Qurtubi (lahir 613 Hijrah, meninggal 671 Hijrah) yang memfokuskan perbahasan tafsir dari sudut ilmu fiqh dan usul, al-Imam Ibn Kathir (lahir 701 Hijrah, meninggal 774 Hijrah) yang memfokuskan tafsiran al-Quran dari sudut fakta-fakta wahyu daripada hadis dan sebarang periwayatan.
Jika dilihat dalam kalangan ulama kontemporari pula seperti Syaikh Sya’rawi (lahir 1329 Hijrah, meninggal 1419 Hijrah) yang memfokuskan pemahaman ayat al-Quran dari sudut ilmu tasawuf, Rashid Redha (lahir 1282 Hijrah, meninggal 1354 Hijrah) yang membawa pemikiran reformis dalam pentafsiran al-Quran, Tahir Ibn ‘Asyur yang mengembangkan pendekatan Maqasid Syariah menerusi ilmu tafsir dan ramai lagi.
Daripada sini, dirumuskan bahawa wacana Islam tidak pernah putus dalam dunia keilmuan. Dalam pada berlaku era kejumudan dan keterbukaannya, ia tidak pernah terhenti sehingga membawa kepada perkembangannya tersendiri.








