SHAH ALAM, 12 OKT: Kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah amal GISB Holdings (GISBH) dan dijaga sementara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan dikembalikan ke pangkuan keluarga.
Bagaimanapun, menteri wanita, keluarga dan masyarakat menjelaskan pelbagai perkara perlu dinilai dan dipertimbang terlebih dahulu, sebelum melepaskan 560 kanak-kanak terbabit.
“Ini bukan untuk menidakkan hak mana-mana pihak tetapi demi kepentingan terbaik kanak-kanak ini,” kata Nancy Shukri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjeaskan pihaknya turut merangka hala tuju komprehensif dengan perancangan tertentu mengikut peruntukan perundangan membabitkan beberapa kategori kanak-kanak.
Katanya, kanak-kanak yang mempunyai ibu bapa, penjaga atau waris dan tidak didera atau diabai akan dikembalikan, namun jika sebaliknya, mereka akan diletakkan bawah jagaan JKM.
“Kanak-kanak tiada ibu bapa atau penjaga akan diletak sementara di tempat selamat atau orang yang sesuai selama tempoh ditetapkan mahkamah.
“Mahkamah Kanak-Kanak juga boleh mengenakan apa-apa syarat atau arahan difikirkan sesuai bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak termasuk ibu bapa atau penjaga mengikut peruntukan subseksyen 30(8),” katanya.
Terdahulu, media melaporkan seramai 96 ibu bapa kepada 174 kanak-kanak yang dikaitkan dengan GISBH, memohon anak mereka dipulangkan semula ke pangkuan keluarga berikutan lebih sebulan tidak berjumpa.