AGENDA

Anak jagaan GISBH terdedah video militan perlu jalani neutral pemikiran

14 Okt 2024, 2:00 PM
Anak jagaan GISBH terdedah video militan perlu jalani neutral pemikiran
Anak jagaan GISBH terdedah video militan perlu jalani neutral pemikiran
Anak jagaan GISBH terdedah video militan perlu jalani neutral pemikiran

SHAH ALAM, 14 OKT: Kanak-kanak di bawah pusat jagaan GISB Holdings (GISBH) yang didedahkan dengan video perjuangan kumpulan militan perlu menjalani program deradikalisasi atau meneutralkan pemikiran.

Pakar Psikologi Kaunseling Prof Madya Dr Fauziah Mohd Sa'ad berkata program yang disekalikan dengan pendidikan kritis dapat membantu mereka membina sistem nilai yang sihat dan menjauhi ideologi ekstrem.

"Pendedahan kepada video militan banyak beri kesan buruk kepada perkembangan mental dan psikologi seperti normalisasi keganasan, gangguan emosi dan trauma, ketakutan dan kecelaruan identiti, pengaruh radikalisasi awal dan masalah pendidikan.

"Sehubungan itu, kanak-kanak terbabit perlu segera menjalani program meneutralkan pemikiran kerana kesan psikologinya tidak hanya merosakkan masa depan tetapi kepada masyarakat jika mereka terlibat dalam aktiviti radikal pada masa hadapan," katanya kepada Selangorkini.

[caption id="attachment_667776" align="alignnone" width="857"] Polis merampas pelbagai jenis buku dan dokumen berkaitan GISBH yang ditanam di tepi pinggir sungai, selain ada yang turut dibakar ketika serbuan di Kampung Panji, Kota Bharu pada 21 September 2024. Foto BERNAMA[/caption]

Fauziah menambah terdapat beberapa program deradikalisasi dan pemulihan yang disasarkan kepada individu terpengaruh dengan ekstremisme membabitkan pelbagai pihak antaranya polis, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, sekolah serta universiti.

"Program seperti ini menunjukkan bahawa Malaysia menggabungkan pendekatan agama, psikologi, dan pemantauan sosial bagi menangani isu radikalisme dengan berkesan.

"Pendekatan holistik ini membantu bukan sahaja individu yang terjejas tetapi juga komuniti lebih luas supaya keganasan dan ekstremisme dapat dicegah daripada akarnya," ujarnya lagi.

[caption id="attachment_668135" align="alignleft" width="349"] Penganalisis Keselamatan Zaki Salleh[/caption]

Sementara itu, Penganalisis Keselamatan Zaki Salleh menjelaskan pendedahan video militan kepada kanak-kanak tidak wajar kerana golongan tersebut paling mudah percaya dan terpengaruh.

"Sekiranya benar, pihak berwajib perlu beri perhatian serius sebab wujud unsur propaganda yang dirancang secara perlahan-lahan bagi mewujudkan fahaman tersebut.

"Elemen militan ini bukan sahaja bercorak senjata api semata-mata tetapi termasuk ilmu mempertahankan diri. Kesan pendedahan video ini mempengaruhi psikologi kanak-kanak dan mereka cenderung melakukan keganasan dan kekasaran," katanya.

Kelmarin, EXCO agama Islam mendedahkan kanak-kanak yang tinggal bawah pusat jagaan GISBH didedahkan dengan video perjuangan kumpulan militan.

Dr Fahmi Ngah memaklumkan berdasarkan laporan diberi polis, video kumpulan pengganas seperti Daesh yang ada di YouTube akan ditayangkan kepada kanak-kanak terbabit.