SHAH ALAM, 14 OKT: Jalan Masjid India di Kuala Lumpur disahkan selamat untuk semua aktiviti, kata menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).
Menurut Dr Zaliha Mustafa, keputusan itu dibuat berdasarkan kajian oleh Pasukan Petugas Khas yang dipengerusikan Datuk Bandar Kuala Lumpur susulan insiden lubang benam pada Ogos lalu.
“Ketetapan ini turut mengambil kira pandangan kepakaran secara kolektif oleh pelbagai agensi termasuk polis, pihak bomba, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia serta pertubuhan profesional.
“Beberapa tindakan segera jangka pendek juga sudah dilaksanakan, antaranya Audit Integriti Aset Utiliti oleh syarikat utiliti di kawasan 'Central Business District', termasuk Jalan Masjid India,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan P Prabakaran (HARAPAN-Batu), Teresa Kok Suh Sim (HARAPAN-Seputeh), RSN Rayer (HARAPAN-Jelutong) dan Fong Kui Lun (HARAPAN-Bukit Bintang) berkaitan kejadian lubang benam di Jalan Masjid India pada Ogos lalu.
Dr Zaliha menambah, bagi tindakan jangka panjang, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan melaksanakan penyiasatan tanah mendalam, membabitkan penggunaan teknik 'Deep Boring' serta ujian makmal bagi memastikan struktur tanah stabil.
Menurut Ahli Parlimen Sekijang itu, laporan geoteknikal bagi kawasan berisiko akan disediakan jurutera bertauliah selain DBKL akan meneruskan komunikasi awam berhubung tahap keselamatan di kawasan terbabit.
“Mengenai pampasan kepada waris mendiang, kerajaan melalui DBKL sudah menyumbangkan RM30,000 untuk membantu keluarga mangsa meringankan beban mereka akibat tragedi terbabit,” katanya.
Pada 23 Ogos lalu, seorang wanita dikenali sebagai G Vijaya Lakshmi, 48, dari Kuppam, Andhra, India hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.
Pencarian melibatkan pelbagai agensi penyelamat bagaimanapun ditamatkan selepas sembilan hari atas faktor keselamatan.