KOTA TINGGI, 13 OKT: Tiga individu yang mempunyai kaitan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan pemerdagangan manusia dan amang seksual.
Mahmad Hamal Tukiman, 57, Rabiahtul Adawiyah Md Shash, 31, dan Muhammad Ansarullah Tukino, 20, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hayda Faridzal Abu Hasan.
Mahmad Hamal dan Rabiahtul Adawiyah didakwa dengan empat pertuduhan di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 kerana memperdagangkan tiga wanita dan seorang lelaki berusia 30 hingga 57 tahun bagi maksud eksploitasi kerja paksa dengan cara ancaman.
Kedua-duanya didakwa melakukan perbuatan tersebut bersama-sama tiga suspek yang masih bebas di Ikhwan Resort Kampung Air Bintan, Ladang Sungai Papan, Bandar Penawar dekat sini antara Ogos tahun lalu hingga 1 Oktober tahun ini.
Jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara tidak lebih 15 tahun atau denda tidak lebih RM250,000 atau kedua-duanya.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Khairuddin Khalid manakala kedua-kedua tertuduh diwakili peguam Fathul Anwar Muin.
Hayda Faridzal membenarkan wang jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin warga tempatan berserta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di balai polis setiap bulan serta tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.
Sementara itu, Muhammad Ansarullah yang diwakili peguam Muhd Zaim Rosli, didakwa atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berusia 16 tahun.
Perbuatan itu dilakukan di Surau Ikhwan Resort Kampung Air Bintan, Ladang Sungai Papan, Bandar Penawar, dekat sini pada 10 malam, 1 dan 3 Jun 2024.
Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.
Hakim membenarkan wang jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin warga tempatan berserta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di balai polis setiap bulan serta tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 27 November sebagai tarikh sebutan semula bagi kes Mahmad Hamal dan Rabiahtul Adawiyah manakala untuk kes Muhammad Ansarullah ditetapkan pada 28 November ini.
- BERNAMA