ad
AGENSI

Jais kesal kes dera, gangguan seksual babit pelajar sekolah agama

13 Okt 2024, 4:00 AM
Jais kesal kes dera, gangguan seksual babit pelajar sekolah agama

SHAH ALAM, 13 OKT: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kesal dengan beberapa kes penderaan fizikal dan kes gangguan seksual membabitkan pelajar sekolah agama swasta di negeri ini.

Pengarahnya Dato' Shahzihan Ahmad menegaskan kes-kes terbabit amat terpesong daripada prinsip mendidik mengikut Islam.

"Jika benar berlaku, ini adalah suatu yang sangat memalukan, melampau, tidak bertamadun dan terkeluar sama sekali daripada konsep mendidik yang ditetapkan oleh Islam.

"Pendidik sepatutnya memberi contoh teladan yang baik kepada pelajar supaya sesuai dengan peranannya sebagai seorang pendidik.

"Tidak boleh sama sekali, sistem pendidikan dan kurikulum Islam yang dilaksanakan di sekolah merosakkan prinsip manusiawi dan ihsan atas alasan membentuk sahsiah Islam kepada pelajar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Shahzihan yang juga Pendaftar Sekolah Islam Selangor berkata, mendidik dalam Islam sangat dekat dengan sikap guru, hati nurani guru untuk mendidik dengan ikhlas dan sabar, bersangka baik kepada pelajar dan sentiasa mendoakan pelajar dalam apa juga keadaan.

"Guru sebagai wahana menyampaikan ilmu perlu memanfaatkan ruang pengajaran dan pembelajaran sebagai ruang bagi pelajar menjadi insan yang ikhlas dalam menerima ilmu, bersangka baik dan menghormati para guru, bukannya interaksi yang melahirkan ketakutan dan mengambil kesempatan daripada pelajar," katanya.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.