BUDAYA

Wanita yang Tumbuh dalam Jasad Seorang Lelaki

13 Okt 2024, 12:30 AM
Wanita yang Tumbuh dalam Jasad Seorang Lelaki

Oleh Wan Muhammad Baihaqi

Dia dilahirkan sebagai seorang lelaki. Lahir daripada rahim seorang wanita. Itulah realitinya. Namun sejak kelmarin, apa yang diyakininya itu dipalingkan dan dia mendengar berita seorang wanita yang tumbuh dalam jasad seorang lelaki. Dia tidak mengenali siapakah lelaki istimewa itu, juga siapakah sebenarnya wanita itu. Dia tidak pernah melihat kedua-dua dengan pancainderanya. Bahkan lebih jauh, dia tidak memahami hakikat kejadian yang sangat aneh itu. Bagaimanakah seorang wanita boleh tumbuh dalam jasad seorang lelaki yang sememangnya diciptakan berbeza biologinya.

Berita tentang kejadian aneh itu berlegar-legar dalam kalangan penduduk di daerah kelahirannya. Tapi apabila ditanya di manakah berlakunya kejadian aneh itu, tiada siapa yang mampu menjawab. Masing-masing hanya mempercayai atas perkataan yang tidak jelas. Berita yang disebarkan daripada seseorang kepada seseorang yang lain dan tiada siapa mengetahui daripada manakah sumber berita itu. Sebulan lamanya berita itu hangat diperkatakan dan dijadikan topik perbualan di warung-warung, pasar-pasar sehinggalah tersebar dalam media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok.

Dia teringat tentang kisah yang masyhur menurut Islam, iaitu kisah penciptaan Adam A.S  dan pasangannya, Hawa. Dikhabarkan bahawa Hawa diciptakan daripada tulang rusuk Adam. Dia cuba mengaitkan kisah itu dengan berita aneh yang diterimanya.

Ah, tidak mungkin. Dua cerita yang tiada kena mengena. Dia menolaknya.

Dia tidak pernah berusaha untuk menyelidik dan membongkar berita yang tidak sahih itu. Bahkan minat untuk mengetahui asal-usul penceritaan tersebut semakin malap. Dia merasakan tiada kepentingan baginya untuk memastikan kesahihan berita itu dan setelah beredarnya waktu, berita itu semakin kurang diperkatakan. Penduduk semakin melupakannya dan mungkin mereka juga sependapat dengannya.

Sementelah berita itu seperti diperolok-olok oleh penduduk. Ada yang bergurau dengan mengatakan mungkin lelaki itu sebenarnya adalah seorang wanita yang telah melakukan pembedahan menukar jantina. Hakikat dirinya adalah wanita. Maka tidak mustahil seorang wanita boleh tumbuh dalam jasadnya.

Dia tersenyum kecil mendengar gurauan itu. Ada benarnya. Tapi istilah tumbuh dalam jasad itu dilihat sangat umum dan boleh ditafsirkan dengan bermacam pemahaman. Di bahagian manakah wanita itu tumbuh? Dalam perut seorang lelaki? Dalam dada? Dalam kepala? Atau di tangannya? Dia mula berfikir bukan-bukan.

Masa semakin beredar dan penduduk tidak lagi membicarakan perihal seorang wanita yang tumbuh dalam jasad seorang lelaki. Masing-masing sudah sedia melupakan dan ia dianggap seperti sebuah dongeng atau cerita karut yang direka-reka. Penduduk menjalani kehidupan seperti biasa. Bagi mereka tiada gunanya lagi membicarakannya kerana ia dirumuskan sebagai suatu yang tidak memberi apa-apa manfaat kehidupan mereka.

10 Tahun Kemudian…

Seorang lelaki muncul dalam daerah itu, dikenali dengan bakatnya dalam bersyair, berpantun, bergurindam dan mendeklamasikan sajak. Umurnya sudah mencecah separuh abad. Penduduk yang tinggal di daerah itu cuba mengaitkan lelaki itu dengan berita yang pernah meniti pada bibir sekalian mereka 10 tahun lalu. Sekalipun masing-masing terpesona dengan bakat dan kebolehan yang dimiliki lelaki itu, tetap timbul rasa bimbang dalam dada kalau-kalau lelaki itu mempunyai tujuan jahat dan mencetuskan huru-hara dalam daerah itu.

Dakwaan yang dizahirkan bahawa terdapat wanita yang tumbuh dalam jasad lelaki itu berjaya menarik ramai penduduk untuk turun dan hadir bersama-sama di suatu majlis kenduri kesyukuran yang diadakan Tuan Penggawa di rumahnya. Lelaki itu dikhabarkan akan turut serta sebagai tetamu istimewa dalam majlis yang bakal diadakan.

Orang ramai yang hadir ke majis itu seperti tidak sabar untuk melihat susuk tubuh lelaki pertengahan usia itu sekali gus mendengar persembahannya. Apabila dia dijemput untuk menyampaikan persembahannya, kekecewaan mula menjalar dalam dada para penonton yang setia menunggu sejak awal lagi. Mereka terpaksa menunggu lama kerana persembahan itu dijadualkan pada penghujung majlis, agar orang ramai tidak meninggalkan majlis sejurus tamat persembahannya.

Tiada apa-apa keistimewaan yang terzahir pada pandangan mata. Orang ramai menilai lelaki itu sama sahaja dengan kebanyakan lelaki di daerah itu. Malah umurnya yang sudah mencecah separuh abad itu seperti menghakis segala ketampanan dan keelokan wajah.

Lelaki itu menyampaikan syair tentang wanita, disusuli sebuah sajak, juga mengenai wanita.

Majlis malam itu tamat dengan dengan rasa campur baur antara kekecewaan dek fizikal lelaki itu yang tidak menepati jangkaan luar biasa penduduk serta sedikit keterujaan yang mengubati, apabila mendengar keindahan kata-kata yang dilontarkan serta keasyikan dan kesedihan sebuah cerita yang terbina dalam syair dan sajak. Cerita tentang wanita yang tumbuh dalam jasad seorang lelaki.

Kisah seorang wanita yang pernah hadir dalam hidupnya. Wanita yang telah pergi itu diumpamakan sebagai pepohonan yang tumbuh dan bertapak serta mengakar dalam dirinya. Tunjangnya amat kukuh hingga sukar lagi dicabut biarpun wanita itu sudah lama tiada. Wanita itu adalah isterinya.

Isterinya sudah menjadi sebahagian daripada jiwa dan rohnya. Meskipun jasadnya tidak akan sama sekali berubah dan sentiasa memenuhi ciri seorang lelaki sejati, namun rasa kecintaan kepada seorang wanita bergelar benar-benar dirasakan seolah-olah dia pernah menjadi seorang wanita. Meskipun kata-kata itu diremeh-remehkan dan dipandang sinis, atau menganggapnya seperti hilang akal, lelaki itu tetap merasai kehadiran dan kewujudan seorang wanita dalam dirinya. Hubungan mereka seperti tidak akan pernah putus.

Personaliti dan watak yang dimiliki oleh isterinya dibawa bersama dalam dirinya sekaligus menjadi pengubat kerinduan dan tanda rasa kasih dan sayang yang tidak berbelah bahagi. Dia menganggap isterinya seolah-olah masih hidup dan sentiasa berada di sampingnya. Namun di sebalik persepsi yang terbina, dia sedar akan realiti dan apa yang sedang berlaku pada dirinya. Bahkan semua ini bukan bermakna dia tidak dapat menerima sebuah kehilangan. Dia terima dan reda. Isterinya kekal tumbuh dan mengakar dalam jantung hatinya. Kehadiran isterinya dapat dirasakan hampir setiap masa dan ketika. Namun dia tahu batas-batasnya. Dia bukan seorang yang gila hingga tidak dapat membezakan antara seorang yang masih hidup atau telah meninggal dunia.