ad
AGENDA

Pasukan khas Selangor teliti program pemulihan kanak-kanak GISBH

8 Okt 2024, 2:58 AM
Pasukan khas Selangor teliti program pemulihan kanak-kanak GISBH

SHAH ALAM, 8 OKT: Selangor menubuhkan pasukan khas bagi meneliti program pemulihan khusus untuk kanak-kanak yang dijumpai di rumah amal GISB Holdings (GISBH) di negeri itu, baru-baru ini.

Ditubuhkan berdasarkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 2 Oktober, pasukan itu dipengerusikan EXCO Agama Islam Dr Fahmi Ngah dan EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari.

Dalam kenyataan bersama hari ini, Dr Fahmi dan Anfaal berkata pasukan itu dianggotai wakil polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dan Lembaga Zakat Selangor.

Turut terlibat Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Jabatan Agama Islam Selangor, pakar psikologi dan pendidikan kanak-kanak, Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) dan Yayasan Selgate.

"Pasukan ini akan menumpukan kaedah pemulihan, bukan sahaja isu akidah tetapi juga kebajikan, kesihatan dan perkembangan mental-fizikal untuk memastikan kanak-kanak ini dapat dipulihkan.

"(Selain itu) diintegrasikan semula dalam masyarakat walaupun selepas tempoh pemulihan rasmi selama enam bulan ini," kata mereka menambah mesyuarat pertama akan diadakan pada 11 Oktober.

Semalam, Mais dalam kenyataan memaklumkan bersedia membantu pemulihan akidah bekas ahli GISBH di semua institusinya, sama ada kemasukan sukarela atau perintah mahkamah.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata usaha bersama pelbagai agensi dibuat secara menyeluruh merangkumi pelbagai peringkat umur bagi jangka pendek dan panjang.

Minggu lalu, khutbah Jumaat di Selangor mengingatkan umat Islam menjauhi kumpulan GISBH yang menyimpang daripada akidah Islam sebenar dan mengelirukan.

Khutbah itu mendedahkan penyimpangan berlaku dalam bentuk pemujaan berlebihan terhadap pemimpin, amalan poligami dan unsur syirik diwarisi dari al-Arqam.

Turut dikesan ialah kepercayaan kepada kebangkitan semula pemimpin al-Arqam yang meninggal dunia dan penyelewengan apabila mempercayai kebangkitan Imam Mahdi yang dikaitkan dengan gerakan itu.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.