SEPANG, 7 OKT: Seramai 120 peserta melibatkan tujuh agensi menjalani Latihan Simulasi Bencana Tanah Runtuh Negeri Selangor selama dua hari di Markas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) di sini.
EXCO pengurusan bencana berkata setiap peserta diberi pendedahan kelas teori dan praktikal bagi memperkukuhkan pemahaman mereka mengenai pengurusan bencana berkenaan.
Najwan Halimi memaklumkan jurulatih berpengalaman daripada SMART memberi tunjuk ajar mengenai teknik penyelamatan dan pengurusan kecemasan ketika berdepan situasi tanah runtuh.
“Program ini diadakan sebagai langkah kesiapsiagaan semua agensi menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula pada bulan November 2024 hingga Mac 2025.
“Sepanjang tempoh tersebut, Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan sebanyak empat hingga enam episod luruan monsun yang berisiko mengakibatkan kejadian hujan lebat yang dijangka berterusan hingga Mac 2025,” katanya.
[caption id="attachment_666938" align="alignnone" width="865"]
Barisan peserta Latihan Simulasi Bencana Tanah Runtuh Bagi Kesiapsiagaan Agensi Respon Peringkat Selangor 2024 di Markas Pasukan Mencari Dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Jalan Pulau Meranti, Puchong pada 7 Oktober 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
Najwan menambah program itu bertujuan meningkatkan koordinasi di antara pelbagai agensi dan sukarelawan bagi memastikan tindak balas yang pantas dan berkesan ketika bencana.
Tambahnya, antara agensi terlibat adalah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Selangor (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Negeri Selangor (APM).
“Agensi lain sertai latihan, Briged Ke-11 Infantri Malaysia (ATM) serta Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor (PTGS).
“Ia turut melibatkan sembilan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) dan 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” ujarnya.


