SHAH ALAM, 7 OKT: Penyimpangan ajaran GISB Holdings (GIBSH) diputuskan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor akan dibawa ke Masjlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bagi proses warta.
Bakal dibuat dalam masa terdekat, keputusan itu menurut EXCO agama Islam akan diteliti penasihat undang-undang negeri (PUU), selain kemungkinan diusul dalam sidang Dewan Negeri akan datang.
“Proses warta tidak lama, kita akan menerusi MMKN. Maknanya kalau sudah setuju (diwartakan), akan diserahkan kepada PUU negeri untuk pastikan fatwa ini boleh dikuatkuasakan dengan pewartaan itu.
“Selepas warta, ia akan jadi enakmen Kerajaan Negeri dan PUU akan teliti daripada segi perundangan,” kata Dr Fahmi Ngah ditemui pada Festival Inovasi Selangor, di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan mana-mana rangkaian perniagaan berkaitan GISBH akan dihentikan dan ditutup selepas fatwa berkenaan dikuat kuasa di negeri ini.
[caption id="attachment_666912" align="aligncenter" width="814"] EXCO Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Dr Fahmi Ngah (kiri) melawat reruai ketika Festival Inovasi Pentadbiran Kerajaan Selangor (FIS) 2024 di Dewan Jubli Perak, Shah Alam pada 7 Oktober 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Tegasnya, tindakan itu tidak memberi kesan kepada ekonomi Melayu seperti dipertikai sesetengah pihak berikutan terdapat banyak lagi rangkaian niaga diusahakan seperti Mydin.
“Jangan kita gembar-gemburkan sekolah-olah kumpulan ini sahaja punca ekonomi Melayu. Saya tidak faham bagaimana rakyat boleh terima cara penjanaan ekonomi ini kerana berlakunya penyiksaan, penderaan kanak-kanak, pengasingan suami isteri.
“Pekerja juga tidak dibayar gaji, malah GISBH tidak pernah membayar cukai, zakat. Kita kena faham perkara ini dan pentadbiran tidak akan berkompromi,” kata Dr Fahmi.
Khutbah Jumaat di Selangor minggu lalu mengingatkan umat Islam menjauhi kumpulan GISBH yang menyimpang daripada akidah Islam sebenar dan mengelirukan.
Menerusi teks dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), penyimpangan berlaku dalam bentuk pemujaan berlebihan terhadap pemimpin, amalan poligami dan unsur syirik diwarisi dari al-Arqam.
Turut dikesan ialah kepercayaan kepada kebangkitan semula pemimpin al-Arqam yang meninggal dunia dan penyelewengan apabila mempercayai kebangkitan Imam Mahdi yang dikaitkan dengan gerakan itu.