SHAH ALAM, 6 OKT: Selangor berharap kerajaan Persekutuan menyedia insentif menarik dalam Belanjawan 2025 bagi meneruskan beberapa projek penting pembangunan negeri.
Dato’ Menteri Besar berkata antara perkara yang sudah disenarai adalah pembangunan sektor semikonduktor dan penyambungan projek tebatan banjir dari Hulu Langat ke Sepang.
Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, Selangor turut berhasrat melaksana peremajaan semula Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang selain menaik taraf beberapa jalan persekutuan.
“Kita mempunyai langkah yang agresif dalam bidang semikonduktor, sebagai contoh. Jadi kita harap ada insentif besar dan Selangor turut senaraikan beberapa projek penting seperti projek tebatan banjir.
“Begitu juga beberapa projek seperti peremajaan semula lapangan terbang Subang. Ia akan bantu kita bangunkan negeri dan dana untuk naik taraf jalan persekutuan seperti di Pelabuhan Klang dan Meru yang menjadi rungutan,” katanya.
Beliau ditemui selepas menghadiri operasi bersepadu oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini, semalam.
[caption id="attachment_666566" align="alignleft" width="500"]
Dato' Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas Operasi Bersepadu Jabatan Imigresen Selangor bersama Menteri Besar Selangor di Taman Sri Muda Shah Alam pada 5 Oktober 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan 18 Oktober ini mengetengahkan tema Ekonomi Madani, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera yang akan dipacu oleh pendekatan Ekonomi Madani.
Sementara itu, Amirudin berkata Kerajaan Negeri sedang mengenalpasti inisiatif menarik menjelang pembentangan Belanjawan Selangor 2025 bagi meringankan beban rakyat.
“Itu sedang dikenalpasti, bukan gula-gula tapi insiatif untuk ringankan beban rakyat. Bukan sekadar gula-gula kerana konotasinya seperti untuk diamkan anak-anak yang menangis.
“Itu bukan tujuan kita. Impian kita adalah pemberdayaan rakyat dan bukan hanya sekadar pemberian,” katanya.
Amirudin dijangka membentangkan Belanjawan Selangor 2025 pada 15 November depan.


