ad
AGENDA

Pimpinan Umno digesa belajar kematangan politik Selangor, Perak

3 Okt 2024, 11:43 AM
Pimpinan Umno digesa belajar kematangan politik Selangor, Perak
Pimpinan Umno digesa belajar kematangan politik Selangor, Perak

SHAH ALAM, 3 OKT: Pimpinan Umno Johor digesa mempelajari kematangan dan kepimpinan dua menteri besar, iaitu Dato' Seri Amirudin Shari di Selangor dan Datuk Seri Saarani Mohamad di Perak.

Merujuk situasi di Selangor, timbalan ketua Parti Keadilan Rakyat Shah Alam berkata wakil rakyat dari Umno tetap dilantik sebagai EXCO, meskipun parti itu hanya menang dua kerusi dewan negeri.

Di Perak pula, menurut Najwan Halimi, jawatan menteri besar diserahkan kepada Barisan Nasional (BN) atas semangat perpaduan, walaupun Pakatan Harapan (HARAPAN) menguasai 24 kerusi.

Jelasnya, Saarani kemudian melantik tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri HARAPAN untuk menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sebagai menghargai persefahaman tersebut.

"Belajarlah berpolitik dengan matang dan budiman. Kita kuat bukan kerana dengan hanya pandai bercakap dan sekadar jadi pahlawan kesiangan.

"Kita kuat jika kita bersatu dan menyelesaikan perbezaan kita secara rundingan dan menghormati di antara satu sama lain," katanya dalam kenyataan hari ini.

[caption id="attachment_666163" align="alignright" width="500"] EXCO Pengurusan Bencana Najwan Halimi ditemui pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran Anugerah Rekaan Cemerlang Rekatone Antarabangsa di Pavillion Embassy Service Suites, Kuala Lumpur pada 3 Oktober 2024. Foto SOFIA NASIR/MEDIA SELANGOR[/caption]

Menurut Najwan, kenyataan beberapa pimpinan Umno selepas pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota disifatkan mengkal dan tidak menambah nilai antara HARAPAN dan BN.

Tegasnya, ada pandangan yang bernada angkuh, sinis, menyinggung bahkan menghina serta meremehkan peranan dan komitmen parti gabungan yang lain yang membentuk kerajaan persekutuan.

Jelasnya, tiada parti politik yang dominan dan layak mendabik dada sebagai parti utama selepas pilihan raya umum lalu, bahkan BN tidak mampu bersendirian membentuk kerajaan di Perak dan Pahang.

"Saya tidak berupaya mengupas dengan perumpamaan seperti 'poker' atau mesin kuda kerana saya tidak pernah bermain judi. Biasanya, yang selalu main judi sahaja tahu istilah dan teknik permainan tersebut.

"Saya kira apa yang sewajarnya menjadi keutamaan kita sebagai pimpinan parti baik dari HARAPAN mahupun BN adalah mencari titik temu dalam memantapkan lagi kerjasama dan hubungan kedua-duanya.

"Alhamdulillah, Umno berjaya menang dua PRK, merampas Nenggiri dan mengekalkan Mahkota. Rakyat menilai. Jangan sombong sangat. Rakyat tak suka orang politik yang sombong," kata Najwan.

Sebelum ini, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Datuk Nur Jazlan Mohamed mendakwa KEADILAN dan Parti Amanah Negara (Amanah) hanya ‘penumpang’ dalam kerajaan perpaduan.

Beliau mendakwa kedua-dua parti itu juga tidak penting atau layak duduk semeja dalam permainan ‘poker politik’ di peringkat persekutuan mahupun Johor.

Dakwanya lagi, KEADILAN dan Amanah hanya sesuai duduk di mesin kuda kerana mengharapkan nasib baik dan kekalahan lawan sahaja, bukan kekuatan jentera parti atau strategi.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.