AGENDA

MB: Pasukan khas negeri teliti kegiatan GISBH, elak isu sama berulang

3 Okt 2024, 9:45 AM
MB: Pasukan khas negeri teliti kegiatan GISBH, elak isu sama berulang
MB: Pasukan khas negeri teliti kegiatan GISBH, elak isu sama berulang

GOMBAK, 3 OKT: Pasukan khas ditubuhkan Selangor akan meneliti secara menyeluruh isu berkaitan GISB Holdings (GIBSH) supaya pembongkaran yang timbul ketika ini tidak berulang.

Dato’ Menteri Besar berkata unit itu turut menumpukan ahli kumpulan yang didedahkan amalan Aurad Muhammadiah berkait ajaran al-Arqam, yang difatwakan sesat sejak 1990-an.

Menurut Dato' Seri Amirudin Shari, usaha juga terarah bagi membantu kanak-kanak yang diselamatkan daripada premis jagaan kumpulan itu dengan membimbing dan memulihkan mereka.

“Kita sentiasa belajar dari satu situasi ke situasi. Kita akan ambil tindakan lanjut dan percaya polis sedang melengkapkan siasatan bawah kanun keseksaan membabitkan penganiayaan, kezaliman dan sebagainya.

“Saya harap ini dapat dilaksanakan selari dengan apa yang direncana Kerajaan Negeri. Pasukan khas akan melihat menyeluruh supaya tidak terlepas pandang dan ini pengajaran,” katanya hari ini.

[caption id="attachment_666180" align="alignright" width="466"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada pemberita pada majlis penutup Selangor 1000 DIgital Siri 5 (akhir) di Hotel Mercure Selayang pada 3 Oktober 2024. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]

Ditemui selepas merasmikan program Selangor 1000 Digital siri lima, jelasnya, ajaran GISBH yang bermula dari al-Arqam bergerak dalam cara berbeza, menyebabkan kegiatan mereka sukar dikesan.

Amirudin berkata fahaman itu diganti dengan penubuhan Rufaqa, yang kemudian dibasmi Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dengan keyakinan ahli kumpulan tersebut berubah.

“Mereka penuhi 500 jam modul taubat untuk kembali ke pangkal jalan yang turut disertai Ummu Jah (balu Allahyarham Ashaari Muhammad). Selepas itu, kita benarkan mereka bergaul dengan masyarakat.

“Mereka pula ambil kesempatan untuk sebarkan kembali ajaran yang difatwakan sesat. Ini pengajaran kita dapat, mungkin terlepas pada siri kedua (Rufaqa’) menangani anak-anak,” katanya.

Semalam, Jais menerusi kenyataan memaklumkan pihaknya mengesan beberapa amalan dan kepercayaan ahli GISBH yang kini disiasat, bercanggah dengan fatwa yang dikuatkuasakan.

Pengarahnya Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata ahli kumpulan itu turut mempercayai beberapa perkara yang dikaitkan dengan pimpinan memberi keberkatan dan membolehkan mereka masuk syurga.

Siasatan Jais juga mendapati perkahwinan dan perceraian dalam kalangan ahli diatur pemimpin kumpulan itu, selain tidak dapat dibuktikan dengan keterangan dokumen sah.

Kedua-dua proses itu tidak mendapat kebenaran pendaftar perkahwinan, cerai dan rujuk bagi anak dara dan teruna, manakala poligami pula dibuat tanpa kebenaran Mahkamah Syariah.