ad
BERITA UTAMA

EXCO: Keputusan fatwa isu GISBH disembah maklum kepada Sultan esok

2 Okt 2024, 7:13 AM
EXCO: Keputusan fatwa isu GISBH disembah maklum kepada Sultan esok
EXCO: Keputusan fatwa isu GISBH disembah maklum kepada Sultan esok

SHAH ALAM, 2 OKT: Keputusan mesyuarat khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor berhubung kegiatan GISB Holdings (GISBH) akan disembah maklum kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor esok.

EXCO Agama Islam Dr Fahmi Ngah berkata Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj akan memperkenan dapatan hasil penelitian tersebut sebelum ia difatwakan (diwartakan).

“Keputusan sudah dibuat dalam mesyuarat dan kita akan bawa menghadap kepada Sultan Selangor sebelum diwartakan,” katanya kepada Selangorkini.

Sebelum ini, Mufti Selangor Dato’ Prof Madya Anhar Opir berkata Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor membentang semua penelitian berhubung kegiatan berhubung kumpulan berkenaan pada 30 September.

[caption id="attachment_666001" align="aligncenter" width="759"] Beberapa premis perniagaan yang dipercayai berada di bawah pengelolaan Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn Bhd (GISBH) ditutup semasa tinjauan fotoBernama di Subang pada 21 September 2024. Foto BERNAMA[/caption]

Selain mesyuarat berkenaan, pihaknya turut mengkaji dan menilai semua bahan bukti diterima daripada polis dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) selain keterangan individu terlibat.

Berikutan pembongkaran isu GISBH ketika ini, Sultan Sharafuddin melahirkan rasa kesal dan kecewa terhadap kegiatan kumpulan tersebut yang disyaki melakukan jenayah berat.

Baginda juga bertitah semua rumah amal dan sekolah agama bawah kawalan GISBH yang tidak berdaftar atau disyaki terlibat dalam jenayah syariah ditutup bagi mencegah kanak-kanak dianiaya.

Baginda turut menggesa Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor meneliti seterusnya memutuskan persoalan sama ada amalan GISBH menyeleweng atau bercanggah ajaran Islam sebenar.

Pada 20 September, polis menyelamatkan 186 mangsa menerusi Op Global fasa empat selepas menyerbu 82 premis seperti rumah amal dan kediaman persendirian dipercayai mempunyai kaitan dengan GISBH.

Serbuan bersama beberapa agensi termasuk Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat itu turut menahan 155 suspek terdiri daripada 78 lelaki dan 77 wanita.

Ketika serbuan di Kelantan, polis menemui puluhan buku berkaitan doktrin diperjuangkan organisasi itu yang ditanam dan dibakar berhampiran kediaman kumpulan berkenaan di Kota Bahru.

Pada 11 September, polis menahan 171 individu dalam serbuan ke atas 20 rumah amal sekitar Selangor dan Negeri Sembilan yang didakwa mengeksploitasi kanak-kanak dan agama.

Dalam operasi itu, seramai 402 individu, masing-masing 201 lelaki dan 201 perempuan berusia antara setahun hingga 17 tahun diselamatkan dan ditempatkan di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur.

GISBH sebelum ini menafikan kaitannya dengan al-Arqam dan menyatakan dakwaan terhadap mereka bertujuan menimbulkan prasangka, fitnah dan berniat jahat.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.