Oleh ABDUL RAHIM SABRI
Sebut bomoh, dukun atau pawang pasti terlintas dalam fikiran, orang berkenaan ada ilmu sihir, membaca mantera atau jampi dalam bahasa pelik dan melakukan upacara ganjil.
Perbuatan-perbuatan itu menyebabkan pengamal perubatan tradisional Melayu dipandang serong masyarakat, sekali gus memberi tanggapan amalan perbomohan sesuatu yang tidak baik.
Tidak dinafikan, memang ada bomoh melanggar syariat Islam dan mendatangkan banyak mudarat termasuk fitnah selain melakukan perbuatan jenayah seperti rogol.
Malah, kes-kes pengamal perubatan tradisional yang menyimpang daripada tatasusila masyarakat banyak dilapor oleh media dan mengundang reaksi orang ramai.
[caption id="attachment_665813" align="alignleft" width="269"]
Pucuk teja jantan[/caption]
“Bomoh yang menyusahkan masyarakat tidak mendapat kedudukan sosial yang tinggi. Sebaliknya mereka dipandang keji dan hina oleh masyarakat,” kata pensyarah Antropologi Universiti Malaya Profesor Dr Hashim Awang dalam syarahan perdana bertajuk Berkatalah Bomoh Melayu... pada 2006.
Di sebalik pelbagai cerita tidak enak didendangkan, masih ada orang Melayu mendapatkan khidmat perubatan tradisional bagi mengubati penyakit - membuktikan peranan bomoh masih dipercayai.
Kajian Dr Hashim mendapati, bomoh yang sebenar mewarisi sains perubatan Alam Melayu yang sejak ratusan tahun lalu. Amalan perbomohan tidak terhad kepada bacaan jampi dan mantera semata-mata.
Bomoh selaku orang yang mengamalkan perubatan Alam Melayu ada kemahiran merawat di samping mempunyai pengetahuan mengenai ubat daripada tumbuh-tumbuhan.
Ketika mengubat pesakit lazimnya bomoh akan membacakan doa penyembuh kesakitan. Doa itulah dianggap jampi yang memberi keyakinan kepada pesakit untuk bersikap lebih positif penyakitnya akan sembuh.
Ilmu perbomohan termasuk petua kesihatan Melayu, ramuan ubat herba akar kayu, amalan perubatan serta penjagaan kesihatan pesakit yang kemudiannya disusun dalam kitab-kitab perubatan Alam Melayu yang diwarisi turun-temurun.
[caption id="attachment_665814" align="alignright" width="388"]
Bonglai[/caption]
Dalam syarahan, Dr Hashim menyifatkan ilmu itu sebagai khazanah mencerminkan ketamadunan dan pemikiran orang Melayu khususnya berkaitan penyakit, pengubatan dan kesihatan.
Menurutnya, terdapat lebih 30 kitab perubatan Alam Melayu yang disimpan dalam negara antaranya Kitab Tajul Muluk karya Ismail Acheh dan Siraj Nur al-Zalam tulisan Syeikh Abbas Acheh. Ada juga kitab perubatan Melayu lain disimpan di perpustakaan atau muzium di luar negara.
“Melalui kitab-kitab tib (perubatan) Melayu, tersingkaplah masalah-masalah kesihatan yang dialami oleh orang Melayu pada masa dahulu serta kaedah-kaedah yang digunakan untuk menghadapi dan menangani pelbagai persoalan yang membawa pelbagai penderitaan dan keperitan hidup,” kata beliau, yang telah bersara pada 2021.
Naskhah-naskhah itu antara lain membahaskan penyakit biasa dan pengubatannya; penyakit yang berpunca daripada sihir, hantu dan kuasa ghaib; berkaitan kebersihan, petua dan pantang-larang; pengubatan dan rawatan serta doa-doa al-Quran dan hadis, jampi serapah, tangkal, azimat serta penyakit bersabit dengan syahwat dan tenaga batin.
Sains moden
Contohnya untuk sakit kepala, perubatan tradisional Melayu menggunakan antaranya buah kundur, pinang, halba, bonglai, buah keras, mata kunyit, jintan hitam, jintan putih, sirih dan pucuk jarak untuk menghilang sembilan jenis sakit kepala.
Sains dan teknologi moden mengesahkan kemujaraban minyak, air minuman atau majun yang dihasilkan oleh bomoh daripada akar kayu untuk mengubat pesakit.
[caption id="attachment_665816" align="alignleft" width="389"]
Kundur[/caption]
Malah pelbagai produk kesihatan daripada perubatan Alam Melayu dihasilkan dan diniagakan secara meluas demi mendapat laba ekonomi.
"Orang Melayu yakin ada masalah-masalah tertentu dapat diselesaikan melalui perbomohan. Kita ambil contoh akar kayu. Orang Melayu cukup yakin dengan ubat jenis ini. Kajian saintifik pun membuktikannya," katanya kepada Selangorkini pada 15 Ogos.
Pengenalan perubatan moden serta kecanggihan teknologinya menjadikan pengaruh bomoh semakin terpinggir dalam kalangan masyarakat.
Perubahan itu menjadikan pengamal perubatan tradisional bukan lagi tunggak masyarakat meski khidmat mereka masih ditagih orang Melayu.
Dr Hashim berpandangan, perubatan tradisional tidak perlu bersaing dengan perubatan moden kerana sistem itu dipercayai lebih berupaya menangani penyakit seperti termasuk kencing manis, darah tinggi dan jantung.
Sebaliknya, pengamal perubatan tradisional harus menumpukan mutu perkhidmatan yang lebih berkesan misalnya perkhidmatan bomoh patah dan penghasilan ubat daripada ramuan akar kayu.



