SHAH ALAM, 30 SEPT: Selangor berhasrat menubuhkan pasukan khas bagi membantu kanak-kanak yang diselamatkan daripada premis jagaan Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH).
Dato’ Menteri Besar berkata unit merangkumi agensi agama Islam dan kebajikan masyarakat itu akan membimbing kanak-kanak yang ditempatkan di pusat perlindungan sementara di seluruh negeri.
“Kita akan tubuhkan unit bertindak merangkumi dua jabatan besar iaitu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) demi menangani, mengawal serta membantu memulihkan anak-anak ini.
“Pihak kita akan bantu pastikan mereka kembali dalam aliran utama iaitu pendidikan sebenar, pekerjaan dan tidak lagi hidup dalam kepompong,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.
Terdahulu, beliau melawat sebuah pusat perlindungan yang menempatkan kanak-kanak yang diselamatkan daripada premis jagaan GISBH dalam operasi khas, Op Global pada 10 September lalu.
[caption id="attachment_665696" align="aligncenter" width="788"]
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap ketika taklimat sempena lawatan pusat perlindungan yang menempatkan kanak-kanak yang diselamatkan dari premis jagaan Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) di Selangor pada 30 September 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI[/caption]
Amirudin turut meluangkan masa lebih satu jam mendengar sesi taklimat yang disampaikan Timbalan Ketua Pengarah Operasi JKM Wan Noraidah Wan Mohd Zain dan Pengarah JKM Selangor Azmir Kassim.
Hadir sama Pengarah Jais Datuk Shahzihan Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif Media Selangor Sdn Bhd Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree dan Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor.
Dalam pada itu, Amirudin berkata Kerajaan Negeri akan menyediakan asatizah, sukarelawan dan perkhidmatan kesihatan menerusi pelan jangka pendek yang bermula dalam tempoh terdekat.
Jelasnya, kanak-kanak terbabit memiliki pengetahuan asas dalam ilmu pendidikan, namun didoktrin bagi menyokong fahaman serta mengukuhkan rangkaian GISBH di seluruh dunia.
“Usaha ini perlu dilakukan secara menyeluruh dengan semua pihak. Sebab itu unit bertindak ini penting untuk kita lihat satu persatu, kewarganegaraan mereka, emosi, akidah, minat dan pandangan mereka terhadap dunia,” katanya.
Pada 10 September, polis menyerbu 20 premis GISBH sekitar Selangor dan Negeri Sembilan selepas mengesyaki kumpulan itu melakukan kesalahan dalam kegiatan pemerdagangan orang dan kesalahan lain.
Dalam operasi itu, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun diselamatkan selain dipercayai menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian dan penganiayaan.


