KUALA LUMPUR, 30 SEPT: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu kebajikan golongan rentan di negara ini terus diberi perhatian selari dengan konsep ekonomi Madani.
Mengambil contoh sektor pendidikan, beliau berkata terdapat anak-anak golongan kaya yang menikmati kemudahan pendidikan yang dibiayai kerajaan, berbanding golongan miskin.
[caption id="attachment_665679" align="aligncenter" width="812"]
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap merasmikan Simposium Kebangsaaan: Menokhtahkan Kemiskinan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pada 30 September 2024. Foto Facebook Anwar Ibrahim[/caption]
"Sekadar yang saya faham, majoriti beri manfaat kepada golongan elit seperti orang kanan penjawat awam, pimpinan politik, pengusaha terkenal yang (anak-anak mereka) dihantar ke sekolah-sekolah terbaik, dibiaya kerajaan dengan kadar tinggi dan ini tidak munasabah, tidak adil.
"Sepatutnya anak orang kaya itu (yang) dihantar ke Fakulti Kejuruteraan, (sama ada) Melayu, Cina atau Iban - dia bayarlah. Dengan cara itu kita boleh menampung kekurangan, kalau tidak.. subsidi ini berterusan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Simposium Kebangsaaan: Menokhtahkan Kemiskinan di Putrajaya hari ini, yang turut dihadiri Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata segala bentuk ketirisan termasuk subsidi pendidikan kepada anak-anak golongan kaya, harus dihentikan.
- BERNAMA








