SHAH ALAM, 30 SEPT: Selangor memantau penyebaran ajaran bertentangan dengan Islam terutama yang difatwakan sesat bagi memastikan fahaman tidak dihidupkan semula.
Dato' Menteri Besar berkata pihak berkuasa agama negeri meneliti setiap laporan malah akan menfatwakan sesat jika terbukti sesuatu gerakan atau pertubuhan tidak mengamalkan ajaran Islam sebenar.
"Selangor sentiasa memutuskan fatwa-fatwa yang mempunyai kepercayaan dan ajaran mengandungi unsur sesat. Cuma dalam isu GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), mereka berlindung di bawah aktiviti perniagaan dan anak-anak mereka pula dijaga dalam kalangan pengikut.
“Ingin saya ingatkan pada 2013, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menerima pengisytiharan taubat Ummu Jah bersama pengikutnya. Namun, wujud komuniti tertentu amalkan ajaran sesat di Country Homes dan Masjid Cahaya Iman.
“Hal ini orang salah faham dan mengatakan tiada tindakan diambil. Bagaimanapun, kita ambil tindakan dan memantaunya,” kata Dato' Seri Amirudin Shari.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan seminar wasatiyyah dan membendung ekstremisme di Dewan Syarahan dan Mzuakarah Islam di sini, hari ini.
[caption id="attachment_665644" align="aligncenter" width="700"]
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berucap merasmikan Seminar Wasatiyyah dan Membendung Ekstremisme di Dewan Dahlia Masjid Negeri, Shah Alam pada 30 September 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Dalam pada itu, Amirudin memaklumkan pihaknya masih menunggu laporan penuh daripada Jais berhubung isu GISBH.
“Kita sedang dapatkan laporan ini sebab libatkan ramai orang selain soal siasat juga membabitkan polis. Kita sedang dapatkan keseluruhan laporan sebab aktiviti ini berlaku dua kali iaitu al-Arqam dan Rufaqa.
“Namun, kali ini mereka berlindung dengan menjalankan beberapa aktiviti. Ini yang harus ditangani kerana mereka telah melanggar beberapa syarat termasuk melakukan jenayah dan akidah,” katanya.
Sebelum ini, Duli Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menzahirkan rasa kecewa terhadap hasil pembongkaran kegiatan GISBH yang disyaki melakukan jenayah berat.
Berikutan itu Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menitahkan pihak berkuasa agama dan polis segera mengambil tindakan tegas terhadap GISBH selain mahu rumah amal dan sekolah agama bawah kawalan kumpuan itu yang tidak berdaftar atau disyaki terlibat dalam jenayah syariah ditutup.
Baginda juga menggesa Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor meneliti seterusnya memutuskan persoalan sama ada amalan GISBH menyeleweng atau bercanggah ajaran Islam sebenar.


